Mustang 'degil' ditahan lagi, ulang kesalahan sama
Sinar Harian

Mustang 'degil' ditahan lagi, ulang kesalahan sama

KUALA LUMPUR – Sebuah kereta mewah jenis Ford Mustang sekali lagi dikesan melanggar undang-undang jalan raya apabila ditahan buat kali kedua dalam tempoh kurang sebulan atas kesalahan sama di pusat bandar pada Jumaat.Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, pemeriksaan mendapati kenderaan itu masih menggunakan Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang telah tamat tempoh selain tidak mempunyai perlindungan insurans sah.Menurutnya, lebih mengejutkan, kereta sama sebelum ini pernah diambil tindakan oleh Polis Diraja Malaysia atas kesalahan serupa."Pemeriksaan dijalankan mendapati pemandunya seorang lelaki berusia 27 tahun."Lelaki itu juga didapati memandu dengan lesen memandu yang telah tamat tempoh dan memaklumkan sedang dalam perjalanan pulang ke rumah ketika ditahan," katanya pada Sabtu.Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati kenderaan tersebut bukan milik pemandu berkenaan."Kereta itu dimiliki individu lain yang mendakwa sedang dalam proses mendapatkan sebut harga bagi memperbaharui LKM."Bagaimanapun, alasan tersebut tidak boleh dijadikan justifikasi untuk menggunakan kenderaan di jalan raya tanpa dokumen sah," ujarnya.Tambah beliau, susulan kesalahan itu, kenderaan terbabit telah disita bagi tindakan lanjut mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.Dalam pada itu, Hamidi menegaskan JPJ Kuala Lumpur akan terus mempertingkatkan pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi undang-undang serta tidak memandang ringan aspek keselamatan.

Go to News Site