Sinar Harian
IPOH - Langkah awal penjimatan dan penstrukturan semula subsidi yang dilaksanakan kerajaan sebelum ini menjadikan ekonomi negara kekal stabil meskipun konflik Asia Barat semakin memuncak.Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, asas ekonomi yang diperkukuh sebelum krisis berlaku itu membolehkan kerajaan mampu menampung kos subsidi bahan api terutama RON95 meskipun berlaku kenaikan harga minyak dunia.Menurutnya, lonjakan kos subsidi bahan api ketika ini bukan kecil apabila meningkat daripada sekitar RM700 juta kepada RM4 bilion sebulan."Kalau ada pihak menyerang, mengatakan usaha kerajaan masih tidak mencukupi, saya ingin tegaskan bahawa kemampuan kita bertahan hari ini adalah hasil penjimatan dan penstrukturan semula subsidi yang telah dilakukan sebelum ini."Keupayaan itu daripada situ," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Satelit: Karnival Kita MADANI X Program MADANI Rakyat 2.0 Santuni Komuniti Tanjung Rambutan di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Sultan Azlan Shah di sini pada Sabtu.Muhammad Kamil berkata, situasi semasa masih berada dalam kawalan dengan kerajaan terus memantau rapat perkembangan termasuk laluan perkapalan di Selat Hormuz yang kini menunjukkan perkembangan positif.Katanya, kerajaan juga terus menilai keperluan memperkenalkan langkah tambahan termasuk kemungkinan pakej rangsangan ekonomi bergantung kepada tahap impak konflik tersebut."Kerajaan bermesyuarat setiap minggu untuk memantau keadaan semasa dan mempertimbangkan pendekatan terbaik agar ekonomi negara kekal mapan tanpa mengetepikan kebajikan rakyat," katanya.Sementara itu, Muhammad Kamil yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyambut baik cadangan Perdana Menteri untuk mengadakan pertemuan bersama pemimpin politik termasuk pembangkang bagi membincangkan impak konflik global terhadap negara.Beliau berkata, situasi semasa menuntut semua pihak mengetepikan perbezaan politik dan tampil dengan cadangan penyelesaian yang konstruktif, bukannya sekadar melontarkan kritikan yang tidak berpaksikan realiti."Kalau ada cadangan yang baik itu (sudah pasti) boleh dipertimbangkan oleh kerajaan. Jadi saya fikir tidak ada alasan ataupun halangan bagi mana-mana pemimpin politik untuk terima ataupun turut serta dalam perbincangan ini," katanya.Dimeriahkan dengan kehadiran lebih 2,000 pengunjung, program satelit ini dianjurkan sebagai promosi dan hebahan awal bagi Program MADANI Rakyat (PMR) peringkat negeri yang dijadualkan berlangsung secara berskala besar pada 3 hingga 5 April depan di Bulatan Sultan Azlan Shah.Penganjuran program pada edisi kali ini diadakan di kawasan kuarters penjawat awam yang menghimpunkan pelbagai jabatan dan agensi menerusi reruai pameran dan kaunter perkhidmatan kerajaan bagi memudahkan masyarakat setempat mendapatkan khidmat nasihat, maklumat terkini, serta menyelesaikan urusan rasmi secara bersemuka.Antara aktiviti menarik lain yang menjadi tumpuan pengunjung termasuklah Jualan Rahmah dan Jualan Agro Madani, program pemeriksaan kesihatan percuma, kempen derma darah, pertukaran minyak hitam motosikal percuma, aktiviti kemasyarakatan dan tayangan wayang pacak.
Go to News Site