78 pesalah buang sampah jalani hukuman
Sinar Harian

78 pesalah buang sampah jalani hukuman

YAN – Seramai 78 pesalah yang diarahkan mahkamah menjalani Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) telah melaksanakan hukuman tersebut secara serentak di enam negeri pada Sabtu.Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Khalid Mohamed berkata, pelaksanaan PKM siri ketiga itu melibatkan negeri Kedah seramai 21 orang, Perlis (lima), Wilayah Persekutuan (26), Pahang (12), Negeri Sembilan (sembilan) dan Johor (lima).Menurutnya, antara lokasi terlibat di Pantai Murni, Yan; Dataran Sena, Kangar; Dataran Merdeka, Kuala Lumpur; Taman Tasik Bandar, Temerloh; Bandar Prima Senawang serta Kampung Senibong, Johor Bahru."Melalui penglibatan langsung ini, mereka dapat memahami perbuatan membuang sampah secara tidak bertanggungjawab memberi kesan kepada kesejahteraan masyarakat dan kualiti ruang awam."Ia juga diharapkan dapat memupuk disiplin serta kesedaran berterusan dalam menjaga kebersihan," katanya dalam sidang akhbar di Pantai Murni di sini.Jelas Khalid, pendekatan tersebut dilaksanakan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) sebagai sebahagian daripada strategi bersepadu bagi membanteras amalan pembuangan sampah kecil di kawasan awam.Menurutnya, pelaksanaan PKM bukan sekadar hukuman sebaliknya bertujuan memberi kesedaran kepada pesalah mengenai kepentingan menjaga kebersihan persekitaran."Sepanjang pelaksanaan program, pesalah terlibat menjalankan kerja-kerja pembersihan secara menyeluruh termasuk di laluan pejalan kaki, jalan awam, sistem saliran, tandas awam serta kawasan pantai," ujarnya.Tambah beliau, bagi memastikan kelancaran dan keselamatan, SWCorp turut mendapatkan khidmat nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) susulan keadaan cuaca panas dan tidak menentu ketika ini.Katanya, Pejabat Kesihatan Daerah turut menempatkan petugas di lokasi pelaksanaan bagi memantau aspek kesihatan dan kebajikan peserta sepanjang program berlangsung."Bagi kesinambungan seterusnya pula, PKM siri keempat dijadualkan melibatkan lima pesalah di Perlis pada Ahad, diikuti PKM siri kelima membabitkan enam pesalah pada Isnin. Setakat ini seramai 22 individu telah selesai menjalani PKM," jelasnya.Dalam perkembangan sama, Khalid memberitahu, sebanyak 1,342 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) telah dikeluarkan di tujuh negeri setakat ini melibatkan 1,058 warganegara dan 284 warga asing.Menurutnya, agensi itu turut melaksanakan pelbagai operasi penguatkuasaan termasuk Ops Perantau Rehat dan Rawat (R&R) dari 7 hingga 19 Mac lalu yang merekodkan 49 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) hasil 40 operasi di 19 lokasi."Ops Ambang Aidilfitri pada 20 Mac lalu, sebanyak 36 NPK dikeluarkan hasil 26 operasi di 35 lokasi di seluruh negara," tambahnya.Sementara itu, individu yang menjalani PKM, Mohd Arman Fatihi Mohd Daud, 22, mengakui hukuman tersebut menjadi satu pengajaran yang berguna buat dirinya.Perkara sama turut diakui seorang warga Indonesia, Irwan Hafiz, 25, dari Medan yang menjalani PKM di Pantai Murni atas kesalahan membuang puntung rokok di Sungai Petani.Mereka menasihati orang ramai agar tidak membuang sampah merata-rata selain mengikuti setiap peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan untuk menjaga kebersihan di negara ini.

Go to News Site