Sinar Harian
KUANTAN - Seorang pesara wanita kerugian RM337,457 selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud yang menggunakan nama Malaysian Industrial Development Finance Bhd.Mangsa berusia 61 tahun itu tertarik menyertai pelaburan berkenaan selepas dijanjikan keuntungan sehingga RM14,000 dengan modal serendah RM300.Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman berkata, mangsa menggunakan wang simpanan selain hasil gadaian barang kemas sebagai modal pelaburan."Semua wang berjumlah RM337,457 itu dipindahkan melalui 38 transaksi ke dalam 16 akaun bank berbeza dalam tempoh 30 Januari hingga 9 Mac lalu."Bagaimanapun, mangsa hanya menerima pulangan sebanyak RM392," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.Beliau berkata, mangsa mula menyedari ditipu selepas diminta membuat bayaran tambahan RM210,500 kononnya sebagai caj pengeluaran keuntungan."Dalam kes ini, mangsa mengalami kerugian keseluruhan RM337,457 apabila semua wang yang dilaburkan lesap," katanya.Menurut Yahaya, mangsa sebelum itu tertarik dengan iklan pelaburan yang dilihat di laman sosial Facebook pada 26 Januari lalu.Katanya, mangsa kemudian berhubung dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp menggunakan nombor telefon tempatan sebelum diarahkan membuat beberapa transaksi pembayaran."Sepanjang tempoh berkenaan, segala urusan pelaburan termasuk keuntungan hanya dimaklumkan melalui WhatsApp sehingga mangsa menyedari dirinya ditipu," katanya.Mangsa tampil membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan nasihat pihak berkuasa terlebih dahulu sebelum membuat sebarang pelaburan.Orang ramai juga digalakkan membuat semakan nombor akaun melalui laman Semak Mule serta segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 sekiranya mengesyaki menjadi mangsa penipuan.
Go to News Site