Sinar Harian
BARU-BARU ini, kerajaan telah mengumumkan langkah untuk menyemak semula subsidi bahan api. Langkah tersebut dilaksanakan berikutan kenaikan kos peruntukan subsidi yang melonjak daripada RM700 juta sebulan kepada RM4 bilion sebulan.Antara perkara yang dilaksanakan ialah had subsidi bagi RON95 diturunkan daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan, bermula 1 April 2026. Harga bahan api bersubsidi masih dikekalkan pada paras RM1.99 seliter.Bagi subsidi diesel pula, pembelian bahan api tersebut di Sabah dan Sarawak telah dihadkan kepada 50 liter bagi setiap pengisian untuk kenderaan persendirian. Had 100 liter pula dikenakan kepada kenderaan di bawah 3 tan, manakala had 150 liter dikenakan terhadap kenderaan melebihi 3 tan, dengan harga bersubsidi masih dikekalkan pada RM2.15 seliter.Selain daripada usaha mengawal perbelanjaan subsidi, mengekang risiko penyeludupan bahan api juga merupakan antara objektif yang ingin dicapai, memandangkan harga bahan api di Malaysia adalah antara yang terendah di rantau ini.Meskipun demikian, kebimbangan rakyat dan golongan peniaga adalah terhadap kemungkinan kenaikan harga barang. Kebimbangan ini adalah sesuatu yang munasabah kerana mekanisme subsidi sedia ada bersifat bersasar.Sebagai contoh, subsidi bagi RON95 adalah untuk warga Malaysia yang mempunyai lesen memandu yang sah. Diesel bersubsidi pula dikhususkan kepada sektor pengangkutan seperti bas sekolah, bas ekspres, ambulans, bas henti-henti, bas mini dan sebagainya.Secara umumnya, para pengguna merupakan golongan yang menerima harga yang ditetapkan oleh para penjual. Sebagai pelanggan, mereka tidak mempunyai maklumat terperinci tentang struktur kos perniagaan. Kebiasaannya, pelanggan hanya mendengar rungutan para peniaga tentang kenaikan kos perniagaan yang seolah-olah memberi justifikasi kepada tindakan menaikkan harga jualan.Hakikatnya, tindakan menaikkan harga tidak salah kerana tujuan sesuatu perniagaan adalah untuk mencapai keuntungan setelah mengeluarkan modal dan berusaha menjalankan operasi.Namun begitu, ketidaksamarataan maklumat merupakan satu perkara yang perlu diberi perhatian. Dalam hal ini, hanya kerajaan yang berupaya mengekang sebarang bentuk ketidakadilan dalam perniagaan, terutamanya dalam aspek penetapan harga.Kerajaan mempunyai jentera di pelbagai kementerian dan agensi yang boleh mengenal pasti sama ada kos sebenar telah meningkat, atau kenaikan harga oleh peniaga lebih bertujuan melindungi margin keuntungan sedia ada. Pengambilan keuntungan berlebihan atau profiteering adalah risiko yang boleh berlaku dan memerlukan campur tangan kerajaan.Selain itu, menggalakkan persaingan dalam kalangan peniaga merupakan satu cara untuk memastikan pergerakan harga barangan dan perkhidmatan lebih fleksibel — ada masa harga meningkat dan ada masanya menurun.Dalam konteks ini, platform e-dagang serta media sosial merupakan teknologi yang boleh membantu mekanisme penentuan harga berlaku dengan lebih cekap. Mungkin insentif cukai boleh diberikan bagi menggalakkan peniaga memanfaatkan teknologi untuk menjual barangan secara dalam talian.Justeru, peranan kerajaan adalah sebagai pemudah cara kepada permasalahan yang dihadapi, dan bukan untuk menyelesaikan semua masalah sepenuhnya. Ini bermakna individu dan para peniaga perlu memikirkan strategi serta membuat persiapan menghadapi situasi mencabar.Sebagai contoh, adakah perlu perubahan terhadap corak perbelanjaan yang lebih berhemah? Adakah perniagaan perlu mempunyai kehadiran dalam media sosial? Ini merupakan antara persoalan yang perlu dijawab oleh masing-masing.Peranan kerajaan hanyalah sebagai pemudah cara melalui skim-skim bantuan yang disediakan di pelbagai kementerian dan agensi. Oleh itu, satu anjakan paradigma perlu wujud dalam kalangan rakyat yang berpaksikan jati diri serta kebijaksanaan dalam mengurus cabaran ekonomi.*Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid ialah Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad
Go to News Site