Collector
'Jangan normalisasi kenyataan rendahkan Institusi Diraja' - Daniel Khoo | Collector
'Jangan normalisasi kenyataan rendahkan Institusi Diraja' - Daniel Khoo
Sinar Harian

'Jangan normalisasi kenyataan rendahkan Institusi Diraja' - Daniel Khoo

SHAH ALAM – Kenyataan yang dilihat memperkecil atau mempertikaikan Institusi Diraja tidak wajar dijadikan budaya normal dalam landskap politik negara kerana boleh menjejaskan keharmonian masyarakat serta sensitiviti rakyat pelbagai kaum.Ketua Pegawai Perhubungan Awam Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Daniel Khoo berkata, semua pihak termasuk ahli politik perlu lebih berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan berkaitan Raja-Raja Melayu kerana institusi berkenaan mempunyai kedudukan penting dalam sistem pemerintahan negara.Menurut beliau, rakyat dapat melihat sendiri peranan aktif Raja-Raja Melayu yang sentiasa mendekati masyarakat, memahami denyut nadi rakyat dan membantu menyelesaikan pelbagai isu melibatkan kebajikan awam."Kita boleh lihat bagaimana Raja saya di Pahang termasuk Tengku Mahkota Pahang sentiasa turun padang meninjau keadaan rakyat, mendengar masalah masyarakat dan membantu rakyat tanpa mengira kaum."Sebab itu saya berpandangan tidak wajar apabila ada pihak termasuk ahli politik terutama bekas Ahli Parlimen, Tony Pua mengeluarkan kenyataan menyentuh soal kuasa Raja-Raja sehingga dilihat merendahkan Institusi Diraja," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.Daniel berkata, meskipun Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan, perkara itu tidak seharusnya dijadikan alasan untuk memperkecil atau meremehkan kedudukan Raja-Raja Melayu yang menjadi tunjang kepada kestabilan negara.Menurutnya, Institusi Diraja tetap mempunyai fungsi penting dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan serta terus dihormati rakyat."Jangan kerana bercakap soal kuasa yang diperuntukkan Perlembagaan, maka Institusi Diraja dipandang rendah. Raja-Raja Melayu tetap mempunyai kedudukan yang sangat penting dalam negara."Malah, terdapat juga pihak yang menerima darjah kebesaran serta pengiktirafan daripada Institusi Diraja, namun pada masa sama mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan persepsi tidak menghormati Raja-Raja Melayu," katanya.Beliau turut mengingatkan bahawa kenyataan yang menyentuh sensitiviti Institusi Diraja tidak boleh dinormalisasikan kerana berpotensi menghakis keharmonian masyarakat majmuk di negara ini."Kita hidup dalam negara berbilang kaum dan agama. Sebab itu semua pihak perlu menjaga adab serta sensitiviti apabila bercakap mengenai Raja-Raja Melayu."Jangan jadikan kenyataan seperti ini sebagai perkara biasa dalam politik negara kerana rakyat masih meletakkan penghormatan tinggi terhadap Institusi Diraja," katanya.

Go to News Site