Collector
1.9 juta kenderaan dijangka masuk Pulau Pinang | Collector
1.9 juta kenderaan dijangka masuk Pulau Pinang
Sinar Harian

1.9 juta kenderaan dijangka masuk Pulau Pinang

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang menjangkakan kira-kira 1.9 juta kenderaan akan memasuki dan melalui negeri ini sepanjang sambutan Hari Raya Aidiladha serta tempoh cuti panjang bermula hujung Mei hingga awal Jun ini.Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, peningkatan jumlah kenderaan itu dijangka berlaku sempena sambutan Hari Raya Aidiladha pada 27 hingga 28 Mei, diikuti cuti panjang sempena Hari Wesak dan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong bermula 31 Mei hingga 2 Jun.Menurutnya, Pulau Pinang yang merupakan antara destinasi pelancongan utama negara serta laluan strategik pengguna jalan raya dijangka menerima aliran trafik tinggi sepanjang tempoh berkenaan susulan peningkatan pergerakan orang ramai untuk pulang ke kampung dan bercuti."Bagi memastikan kelancaran trafik dan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa berada pada tahap optimum, polis melalui Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) akan mempergiat operasi pemantauan serta penguatkuasaan di lokasi tumpuan."Penugasan kali ini masih mengekalkan konsep ‘Pre-Emptive Services and Total Enforcement’ yang menekankan tindakan awal serta langkah pencegahan secara proaktif dalam menangani kesesakan dan kemalangan jalan raya," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.Beliau berkata, objektif utama pelaksanaan operasi itu adalah memastikan keselamatan pengguna jalan raya selain mengurangkan kadar kemalangan dan kesesakan lalu lintas melalui tindakan penyuraian trafik di laluan utama di Pulau Pinang.Katanya, tumpuan penguatkuasaan turut diberikan di kawasan yang kerap berlaku kemalangan (blackspot) serta lokasi kesesakan (hotspot) bagi memastikan kelancaran dan keselamatan trafik termasuk di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan."Perhatian juga diberikan kepada daerah yang menyumbang kepada jumlah kemalangan maut tertinggi dan kawasan yang sering mengalami kesesakan," katanya.Azizee menambah, antara laluan yang dikenal pasti berdepan kepadatan trafik dan kawasan berisiko kemalangan ialah Jalan Teluk Air Tawar ke Jalan Bagan Luar di Seberang Perai Utara (SPU), Jalan Perusahaan Perai ke Jalan Kulim di Seberang Perai Tengah (SPT), Jalan Besar Simpang Empat (KM12 hingga KM32) di Seberang Perai Selatan (SPS), selain Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dan Jalan Ayer Itam di daerah Timur Laut."Selain itu, Jalan Ayer Itam ke Paya Terubong, Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Tun Dr Awang di daerah Barat Daya serta Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB/Open Highway)."Seramai 145 pegawai dan anggota JSPT Kontinjen Pulau Pinang akan terlibat secara langsung dalam operasi berkenaan," ujarnya.Menurut Azizee, JSPT Pulau Pinang turut bekerjasama dengan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Pulau Pinang serta agensi penguat kuasa lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan, pihak berkuasa tempatan dan PLUS Malaysia Berhad.Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan serta-merta akan diambil mengikut peruntukan Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas LN166/59 terhadap pengguna jalan raya yang melakukan enam kesalahan utama."Antara kesalahan yang diberi tumpuan ialah memandu melebihi had laju, menggunakan alat komunikasi semasa memandu, memandu di lorong kecemasan, tidak mematuhi lampu isyarat, memotong barisan dan memotong di garisan berkembar."Pengguna jalan raya juga dinasihatkan supaya merancang perjalanan, mematuhi peraturan serta tidak memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah demi keselamatan semua pihak," katanya.

Go to News Site