Sinar Harian
KUALA LUMPUR - Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkongsi visi untuk menjadikan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) bukan sahaja sebagai sekolah perniagaan terbaik di Malaysia, tetapi sebuah AI-driven business school.Menurut beliau, universiti itu berperanan melahirkan generasi baharu usahawan, pemimpin koperasi dan penggerak ekonomi masa depan sejajar perkembangan dunia teknologi serta kecerdasan buatan (AI).Beliau berkata, UKKM mempunyai kelebihan tersendiri kerana ditubuhkan ketika era revolusi AI, sekali gus memberi peluang kepada universiti itu membina model pendidikan yang relevan dengan dunia baharu."UKKM masih muda, tetapi usia muda ini sebenarnya kekuatan kita. Kita ditubuhkan dalam era revolusi AI. Justeru kita ada peluang untuk membina sebuah universiti yang benar-benar relevan dengan dunia baharu," katanya.Beliau berkata demikian ketika dimasyhurkan sebagai Canselor UKKM pada Majlis Pemasyhuran Canselor dan Konvokesyen Kali Ke-2 universiti itu di World Trade Centre Kuala Lumpur pada Khamis.Hadir sama, Pro-Canselor UKKM, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun; Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Pro-Canselor UKKM, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud serta Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Profesor Datuk Dr Azlinda Azman.Pada majlis sama, Steven Sim turut menyampaikan sijil kepada 26 graduan yang menerima diploma dan ijazah membabitkan lima program akademik iaitu Diploma Pengurusan Koperasi, Diploma Keusahawanan Koperasi, Master in Business Administration (Cooperative Management), Master in Business Administration (Corporate Leadership) dan Master in Business Administration.Dalam ucapannya, beliau turut menggariskan pendekatan ‘ABCD’ sebagai pedoman utama pembangunan UKKM.Jelasnya, A merujuk kepada penglibatan Adjunct Professor daripada kalangan pemain industri, tokoh koperasi, usahawan, pelabur dan pembuat dasar supaya mahasiswa dapat belajar terus daripada dunia sebenar.B pula ialah pembinaan kampus bijak (smart campus) yang memberi penekanan kepada pelaburan teknologi khususnya AI dan digitalisasi agar UKKM menjadi kampus yang bijak dan berdaya saing.Menurut beliau, C membawa maksud cepat termasuk keperluan menilai semula tempoh pengajian supaya lebih anjal dan relevan dengan perubahan pesat dunia pekerjaan serta teknologi."D pula ialah dunia sebenar, di mana budaya pembelajaran UKKM perlu berasaskan pengalaman industri dan realiti pasaran semasa," katanya.Steven Sim berkata, UKKM juga perlu berpaksikan semangat gerakan koperasi yang diperjuangkan Tokoh Koperasi Negara, Allahyarham Ungku Aziz iaitu memajukan ekonomi rakyat, menjaga kebajikan rakyat serta membina perpaduan rakyat.Menurut beliau, sehingga Disember 2025, gerakan koperasi di Malaysia mencatatkan perolehan hampir RM82 bilion, sekali gus membuktikan sektor koperasi dan keusahawanan mempunyai potensi besar untuk pembangunan kerjaya dan ekonomi negara.Dalam majlis sama, beliau turut memaklumkan, Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi menaja lebih RM516,000, manakala Jabatan Perkhidmatan Awam Sabah (JPANS) menyumbang RM158,000.Secara keseluruhan, jumlah biasiswa diterima daripada Yayasan Bank Rakyat, Yayasan Angkasa dan Yayasan Negeri Sabah dengan kira-kira 50 pelajar sedang menikmati manfaat bantuan berkenaan.Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penaja dan pihak yang membantu pembangunan UKKM termasuk institusi kewangan, agensi kerajaan serta rakan industri.Pada masa sama, beliau menzahirkan ucapan tahniah kepada graduan, pensyarah, fakulti serta ahli keluarga yang hadir meraikan kejayaan konvokesyen berkenaan.
Go to News Site