Sinar Harian
SEREMBAN - Seorang wanita warga emas ditahan susulan video tular memaparkan seorang kanak-kanak lelaki dipercayai didera di sebuah kawasan perumahan di daerah ini.Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, wanita berusia 60 tahun itu ditahan sekitar jam 9.45 malam di rumahnya pada Khamis."Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban telah menerima satu laporan pada jam 8.01 malam tadi (Khamis) berhubung kejadian penderaan melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang dipercayai berlaku di sebuah kawasan perumahan di daerah ini."Kejadian tersebut disedari oleh ibu bapa mangsa selepas melihat satu rakaman video berdurasi satu minit 15 saat yang tular di media sosial," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.Menurutnya, rakaman video tersebut memaparkan seorang wanita bertindak memukul seorang kanak-kanak lelaki di bahagian belakang sebuah rumah.Tambahnya, mangsa dalam rakaman tersebut telah dikenal pasti oleh kedua-dua ibu bapanya."Hasil siasatan awal mendapati, mangsa telah dihantar oleh ibu bapanya untuk diasuh di rumah suspek yang terletak tidak jauh dari kediaman mereka sejak tujuh bulan lalu."Mangsa kemudiannya telah dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar di sini bagi menjalani pemeriksaan dan rawatan lanjut," katanya.Beliau berkata, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Seremban bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.Tegasnya, polis memandang serius sebarang bentuk penderaan terhadap kanak-kanak dan menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan."Justeru, mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Kamarul Ariffin Kamaruzaman di talian 06-6033222," katanya.
Go to News Site