Collector
Wong Chen dakwa akses portal MyKhas disekat selepas hadir program Rafizi | Collector
Wong Chen dakwa akses portal MyKhas disekat selepas hadir program Rafizi
Sinar Harian

Wong Chen dakwa akses portal MyKhas disekat selepas hadir program Rafizi

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Subang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Wong Chen mendakwa pejabatnya dinafikan akses ke portal MyKhas secara tiba-tiba tanpa sebarang notis, sekali gus menjejaskan urusan permohonan peruntukan Projek Mesra Rakyat (PMR) untuk kawasan Parlimen berkenaan.Beliau berkata, portal yang dikendalikan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu merupakan platform penting bagi memuat naik, mengurus dan memproses permohonan berkaitan peruntukan rakyat."Gangguan perkhidmatan ini disedari pada jam 12 tengah hari, Rabu lalu ketika pegawai saya cuba memuat naik beberapa permohonan dana PMR untuk sekolah-sekolah dalam kawasan Parlimen Subang."Selepas menghubungi pihak berkaitan bagi mendapatkan penjelasan, pegawai saya dimaklumkan secara lisan oleh seorang penjawat awam bahawa akses tersebut telah disekat atas arahan pihak atasan di Putrajaya," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.Chen berkata, susulan itu pejabatnya menghantar emel kepada ICU pada hari sama bagi menuntut akses dipulihkan selain meminta penjelasan rasmi berhubung sekatan berkenaan.Beliau berkata, pegawainya turut menyerahkan sendiri surat rasmi kepada ICU JPM Selangor dan ibu pejabat ICU JPM di Putrajaya pada keesokan harinya."Sehingga jam 10 pagi hari ini, pejabat kami masih belum diberikan semula akses ke portal MyKhas dan belum menerima sebarang penjelasan rasmi secara bertulis berhubung sekatan tersebut," katanya.Beliau turut mempersoalkan tindakan itu selepas mendakwa semakan bersama beberapa ahli Parlimen penyokong kerajaan di Selangor termasuk Ahli Parlimen PKR lain yang menghadiri program Hala Tuju Politik Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad pada Ahad lalu mendapati akaun portal MyKhas mereka masih boleh diakses sepenuhnya."Perkara ini menimbulkan persoalan serius mengapa pejabat Parlimen Subang menjadi satu-satunya kawasan yang disasarkan dan dinafikan akses."Jika benar berlaku layanan terpilih, ia amat dikesali dan bercanggah sama sekali dengan prinsip Madani yang menekankan pentadbiran adil, telus dan profesional," ujarnya.Chen berkata, pejabatnya sebelum ini sering menerima pengiktirafan daripada ICU JPM Selangor kerana pengurusan fail, dokumentasi dan akaun kewangan berkaitan peruntukan kerajaan yang disifatkan profesional serta mematuhi prosedur.Malah katanya, pejabat beliau juga secara terbuka menerbitkan penyata akaun termasuk peruntukan komuniti dan perbelanjaan setiap enam bulan sejak lebih sedekad lalu sebagai komitmen terhadap ketelusan.Sehubungan itu, beliau menuntut JPM segera memulihkan akses portal MyKhas milik pejabat Parlimen Subang selain memberikan penjelasan rasmi secara bertulis mengenai sekatan tersebut.Sebelum ini Chen dilapor menjadi salah seorang daripa enam Ahli Parlimen PKR yang menghadiri program Hala Tuju Politik Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi dan Nik Nazmi (bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam).Lima lagi yang lain ialah Datuk Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), Rodziah Ismail (Ampang), Zahir Hassan (Wangsa Maju) dan Lee Chean Chung (Petaling Jaya).

Go to News Site