Sinar Harian
GEORGE TOWN – Sebuah vesel nelayan tempatan kelas B1 ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang selepas disyaki melanggar syarat lesen dengan menjalankan aktiviti penangkapan ikan kurang lapan batu nautika dari kawasan pesisir, awal pagi Jumaat.Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, penahanan dilakukan susulan aduan awam yang diterima melalui aplikasi WhatsApp berhubung sebuah bot nelayan yang dipercayai beroperasi terlalu hampir dengan kawasan pantai.Menurutnya, bot berkenaan dikesan tidak mematuhi had minimum lapan batu nautika seperti ditetapkan di bawah Akta Perikanan 1985."Bot tersebut kemudiannya ditahan pada kedudukan kira-kira 0.1 batu nautika di utara Pulau Rimau."Pemeriksaan mendapati terdapat empat kru berada di atas bot berkenaan terdiri daripada dua lelaki tempatan dan dua lelaki warga Indonesia berstatus pemastautin tetap," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.Beliau berkata, kesemua kru berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun itu turut ditahan bagi membantu siasatan lanjut.Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen perikanan yang dikeluarkan."Bot bersama kru telah diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Pulau Pinang untuk tindakan lanjut."Nilai keseluruhan rampasan termasuk vesel dianggarkan berjumlah RM1.5 juta," katanya.Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti menyalahi undang-undang di laut.Katanya, kerjasama masyarakat amat penting dalam membantu pihak berkuasa memastikan keselamatan perairan negara serta kelestarian sumber marin terus terpelihara.
Go to News Site