Sinar Harian
SHAH ALAM – Siri kenyataan balas-membalas antara pemimpin Barisan Nasional (BN) dan DAP berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mencetuskan persoalan sama ada ketegangan itu akan kekal sebagai isu setempat atau merebak ke negeri-negeri lain yang bakal berdepan pilihan raya.Felo Penyelidik ILHAM Centre, Mujibu Abd Muis berkata, kenyataan Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang menolak kerjasama dengan DAP dan reaksi balas pimpinan Pakatan Harapan (PH) menunjukkan wujud ketegangan bersifat struktural dan bukannya sekadar pertelingkahan peribadi atau retorik sementara.Katanya, hubungan BN-PH khususnya melibatkan DAP sejak awal lagi dibentuk atas keperluan politik selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang menyaksikan tiada gabungan memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan."Perbezaan naratif, persaingan pengaruh dan percanggahan strategi di peringkat negeri adalah sesuatu yang boleh dijangka."Dalam konteks Johor, kenyataan sedemikian perlu dibaca dalam kerangka politik tempatan kerana negeri itu mempunyai demografi politik unik dengan sentimen Melayu yang masih signifikan dan persaingan mendapatkan semula pengundi tradisional BN," katanya kepada Sinar Harian.Menurut Mujibu, keadaan itu mendorong sesetengah pemimpin BN mengambil pendekatan lebih berhati-hati terhadap hubungan terbuka dengan DAP atas pertimbangan elektoral di peringkat negeri.Beliau berkata, parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan berdepan dilema antara keperluan menunjukkan solidariti bagi memastikan kestabilan pentadbiran dan keperluan mempertahankan identiti politik masing-masing untuk mengekalkan sokongan penyokong tradisional.Bagaimanapun, beliau berpandangan, persoalan lebih penting ialah sama ada ketegangan tersebut boleh merebak ke negeri-negeri lain sehingga memberi kesan kepada hubungan di peringkat pusat."Kemungkinan itu memang wujud, namun tahap kesannya bergantung kepada sejauh mana kepimpinan parti berjaya menguruskan konflik secara matang."Walaupun Ketua Menteri Melaka memberi bayangan tidak akan menyelaraskan pilihan raya negeri bersama Johor dan Negeri Sembilan, ketegangan BN-PH tetap boleh mempengaruhi strategi pilihan raya apabila Dewan Undangan Negeri matang atau dibubarkan nanti," katanya.Jelas beliau, isu pembahagian kerusi, dominasi pengaruh dan penentuan naratif kempen berpotensi menjadi lebih rumit apabila parti-parti yang berada dalam kerajaan pusat perlu bersaing sesama sendiri di peringkat negeri.Namun begitu, Mujibu tidak melihat ketegangan itu berpotensi menggugat hubungan di peringkat Persekutuan dalam jangka masa terdekat."Politik Malaysia kini bergerak dalam kerangka pragmatisme. Selagi semua pihak melihat kestabilan Kerajaan Persekutuan memberi manfaat politik dan pentadbiran, ruang kompromi masih besar."Parti-parti mungkin bertembung secara retorik di negeri, tetapi tetap memilih kerjasama di pusat atas pertimbangan survival politik dan kestabilan institusi," katanya.Beliau menambah, cabaran sebenar bukan sama ada BN dan DAP boleh bersetuju dalam semua perkara, tetapi sama ada kedua-duanya cukup matang untuk membezakan persaingan pilihan raya dengan tanggungjawab mentadbir negara secara bersama.
Go to News Site