Sinar Harian
KUALA LUMPUR - Polis giat mengesan sekumpulan individu disyaki melakukan kegiatan mencuri kabel menggunakan kereta mewah jenis BMW di Jalan Datuk Sulaiman, Taman Tun Dr Ismail, di sini pada Isnin.Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, siasatan mendapati kejadian yang tular di media sosial itu berlaku pada jam 4.30 pagi."Seorang saksi yang sedang menjalankan kerja berkaitan topografi terlihat lima lelaki menarik keluar kabel milik Telekom Malaysia (TM) dari sebuah lubang utiliti."Mereka melakukan kegiatan itu dengan menggunakan sebuah kereta BMW dan saksi telah menegur kumpulan terbabit," katanya dalam kenyataan pada Selasa.Chang Hook berkata, kumpulan lelaki itu kemudian melarikan diri dari lokasi kejadian dengan menaiki tiga kenderaan BMW."Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi memaparkan kegiatan lima suspek terbabit," katanya.Beliau berkata, pihak TM telah hadir bagi membantu siasatan dan mengesahkan kerugian yang dialami dianggarkan berjumlah kira-kira RM20,000."Susulan itu, satu kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri serta Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998."Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields," katanya.
Go to News Site