Sinar Harian
BUKIT MERTAJAM - Empat sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun terpaksa memanjat ke bumbung rumah jiran bagi menyelamatkan diri selepas kediaman mereka di Lorong Bukit Minyak 21, Taman Bukit Minyak di sini dipenuhi asap dalam kejadian kebakaran pada pagi Selasa.Dalam kejadian kira-kira jam 7.43 pagi itu, semua mangsa yang terperangkap di tingkat atas rumah bertindak keluar ke bumbung rumah sebelah sementara menunggu ketibaan pasukan bomba.Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.43 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Perda dikejarkan ke lokasi.Menurutnya, operasi turut dibantu BBP Bukit Mertajam dan BBP Sungai Bakap."Jentera pertama tiba di lokasi pada jam 8.01 pagi selepas menempuh kesesakan lalu lintas sejauh kira-kira sembilan kilometer dari balai."Siasatan awal mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah teres dua tingkat dengan keluasan kira-kira 20 x 30 kaki persegi."Kebakaran berlaku di bahagian bawah rumah dengan anggaran kemusnahan sebanyak 30 peratus," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.Beliau berkata, ketika kejadian terdapat mangsa yang berusia lingkungan 68 hingga empat tahun terperangkap di tingkat atas rumah namun berjaya diselamatkan."Selain rumah, kebakaran turut melibatkan sebuah kereta Honda City yang mengalami kemusnahan kira-kira 50 peratus serta sebuah motosikal Honda ADV 160 yang rosak kira-kira lima peratus."Komander operasi bersama anggota bomba yang lengkap dengan peralatan perlindungan diri menjalankan kerja pemadaman menggunakan kaedah serangan terus bagi mengawal kebakaran," ujarnya.Tambah John, kebakaran berjaya dikawal pada jam 8.06 pagi dan dipadamkan sepenuhnya pada jam 8.33 pagi sebelum kerja-kerja pemeriksaan serta overhaul dijalankan."Operasi tamat sepenuhnya pada jam 9.05 pagi dan kes diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran untuk mengenal pasti punca serta nilai kerugian."Seramai 24 anggota bomba termasuk ketua balai terlibat dalam operasi itu dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela Juru, Taman Sukun dan Permatang Tinggi," katanya.Sementara itu, John menambah, Pusat Sehenti Pasca Insiden (PSPI) turut memberikan khidmat nasihat kepada pemilik rumah serta mengumpul maklumat bagi membantu menyalurkan bantuan mengikut keperluan semasa.
Go to News Site