Sinar Harian
ALOR GAJAH - Seorang penuntut universiti awam di negeri ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas pertuduhan melakukan perbuatan mengaibkan kehormatan terhadap seorang gadis, awal bulan ini.Tertuduh, Muhammad Amir Nabil Salehuddin, 24, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dr Teoh Shu Yee.Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan mengaibkan kehormatan dengan menyuruh mangsa berusia 20 tahun melakukan rangsangan seksual menggunakan tangan ketika berada di dalam sebuah kereta.Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 4 Jun 2026, jam 1.13 pagi di Jambatan Jalan Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA), dalam daerah Alor Gajah, Melaka.Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasarudin, menawarkan jaminan RM10,000 berserta syarat tambahan bahawa tertuduh tidak dibenarkan mendekati mangsa dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran.Peguam, Shahrul Amali Shafie, yang mewakili tertuduh, dalam rayuannya memohon agar jumlah jaminan dikurangkan kepada RM2,000 kerana jaminan bukan bertujuan menghukum, sebaliknya bagi memastikan tertuduh hadir ke mahkamah.Menurutnya, tertuduh masih belajar dan ini merupakan pertuduhan pertama yang dihadapinya. Selain itu, ibu tertuduh merupakan seorang pesara kerajaan.Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM4,600 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Go to News Site