Sinar Harian
JOHOR BAHRU - Seorang guru lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas tujuh pertuduhan amang seksual fizikal terhadap murid perempuannya antara 2024 hingga 2025.Tertuduh, Mohamad Amirul Awang Meran, 28, yang sudah lima tahun menjadi guru turut tidak mengaku salah terhadap dua pertuduhan di Mahkamah Majistret di sini iaitu memiliki bahan lucah dalam dua buah telefon bimbitnya.Tertuduh yang masih mengajar di sebuah sekolah rendah di Masai membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nor Aziati Jaafar, Hakim Madihah Zainol dan Majistret Afifah Hazimah Wahab.Di hadapan Hakim Nor Aziati, tertuduh didakwa atas tiga pertuduhan iaitu melakukan amalan seksual fizikal.Perbuatan tersebut dilakukan terhadap mangsa yang ketika itu berusia 11 tahun dalam sebuah kereta berwarna perak di tapak parkir Taman Permainan Masai di sini jam 7 malam pada 26 Februari jam 7 malam pada 4 April dan jam 8 pagi pada 18 Ogos 2024.Sementara itu, di hadapan Hakim Madihah, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dalam kereta dan juga di tempat sama jam 8.30 malam pada 16 Mei 2025.Tertuduh juga didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang ketika itu berusia 12 tahun dalam kereta dan juga di tempat sama jam 8.30 malam pada 27 Ogos 2025.Bagi semua perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Αkta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta yang sama.Di hadapan Majistret Afifah pula, tertuduh didakwa dengan dua pertuduhan menyimpan bahan lucah dalam dua telefon bimbit miliknya di tepi Jalan Seri Wangi 1/1, Taman Perindustrian Plentong, Masai di sini, jam 10.30 malam, 21 Mei 2026.Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farah Wahida Shahudin, S Manushri dan Sarah Siti Aisyah Mustapha Kamal masing-masing mencadangkan jumlah ikat jamin RM20,000, jika mahkamah ingin membenarkan tertuduh diikat jamin selain beberapa syarat tambahan.Peguam Nur Zafirah Norizan yang mewakili tertuduh, memohon mahkamah memberikan jumlah jaminan yang lebih rendah dengan mengambil kira beberapa faktor termasuk tertuduh yang kini bertugas di sebuah sekolah rendah di Masai sudah berkhidmat selama lima tahun sebagai guru."Tertuduh hanya berpendapatan bersih RM3,000 sebulan dan menanggung ibu bapanya di Terengganu yang berusia 50 dan 60 tahun yang menghidap penyakit saraf."Dia yang juga anak sulung daripada tiga beradik turut menanggung adiknya yang masih belajar. Tertuduh juga didiagnos dengan gangguan kemurungan sederhana (moderate depression disorder)," katanya.Hakim Nor Aziati kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000; Hakim Madihah pula membenarkan jumlah jaminan tambahan RM3,000 manakala Majistret Atifah Hazimah membenarkan jaminan RM6,000.Mahkamah turut mengenakan tiga syarat tambahan iaitu dilarang mengganggu mangsa dan saksi sehingga kes selesai, perlu melapor diri di balai polis terdekat sebulan sekali dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sekiranya ada.Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 13 Julai depan.
Go to News Site