Sinar Harian
KUALA LUMPUR - Keterujaan peminat untuk mendapatkan tiket konsert BTS World Tour dikesan telah dimanipulasi sindiket penipuan yang menawarkan tiket palsu menerusi media sosial selepas 41 kes membabitkan kerugian hampir RM96,000 direkodkan setakat ini.Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pemantauan yang dijalankan mendapati sindiket penipuan menggunakan media sosial untuk menawarkan tiket khususnya bagi kategori VIP, Soundcheck dan Priority Access pada konsert yang dijadualkan berlangsung pada 12 dan 13 Disember ini."Modus operandi yang dikenal pasti adalah menawarkan tiket sebelum jualan rasmi atau pra-jualan dibuka selain mendakwa mempunyai akses dalaman dan kuota khas untuk mendapatkan tiket yang sukar diperoleh."Mereka turut menggunakan tangkap layar palsu sebagai bukti tempahan serta mengarahkan mangsa membuat bayaran segera melalui pindahan bank, DuitNow atau kod QR bagi tujuan kononnya mengunci tempahan tiket," katanya dalam kenyataan pada Selasa.Rusdi berkata, selepas bayaran dibuat, mangsa sama ada tidak menerima tiket yang dijanjikan atau suspek gagal dihubungi."Sebanyak 41 kes penipuan berkaitan penjualan tiket konsert BTS telah direkodkan setakat ini dengan jumlah kerugian keseluruhan mencecah RM95,974.81," katanya.Katanya, berdasarkan trend semasa, JSJK menilai risiko penipuan berkaitan tiket konsert BTS berada pada tahap membimbangkan dan dijangka meningkat selepas tiket rasmi habis dijual berikutan permintaan yang tinggi dalam kalangan peminat."Faktor Fear of Missing Out (FOMO) turut dikenal pasti sebagai antara punca yang menyebabkan peminat mudah terpedaya dengan tawaran tiket yang tidak sah," katanya.Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya membeli tiket hanya melalui saluran rasmi yang diumumkan oleh penganjur atau ejen jualan yang sah serta tidak membuat bayaran kepada individu yang menawarkan tiket menerusi media sosial tanpa pengesahan.Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak mudah mempercayai dakwaan mempunyai akses khas, kuota dalaman atau tiket sebelum jualan rasmi dibuka."Selain itu, pengguna disaran menyemak kesahihan akaun bank dan nombor telefon melalui portal Semak Mule sebelum melakukan sebarang transaksi," katanya.Katanya, individu yang mengesyaki telah menjadi mangsa penipuan perlu segera menghubungi National Scam Response Center (NSRC) di talian 997 bagi membolehkan tindakan pantas diambil."JSJK akan terus memantau trend penipuan berkaitan penjualan tiket acara hiburan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang terlibat," katanya.
Go to News Site