Sinar Harian
KUALA LUMPUR - Malaysia perlu terus memperkukuh disiplin fiskal, menambah baik penyampaian perkhidmatan awam, menyokong perniagaan, melindungi rakyat dan meletakkan negara pada kedudukan untuk meraih pelaburan serta pertumbuhan bernilai lebih tinggi, kata Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.Beliau berkata, ini akan memastikan pembaharuan berteraskan kredibiliti, akauntabiliti dan kepercayaan."Kita beroperasi dalam dunia yang ketidaktentuannya menjadi lebih kompleks dan berterusan, memberikan cabaran dan peluang kepada negara."Ketegangan geopolitik, penjajaran semula rantaian bekalan, gangguan teknologi, risiko iklim, tekanan kos dan perubahan jangkaan pelabur membentuk semula cara ekonomi berkembang, bersaing serta membina daya tahan," katanya.Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Persidangan Akauntan Antarabangsa 2026 Institut Akauntan Malaysia (MIA) di sini pada Selasa. Amir Hamzah menegaskan bahawa dalam persekitaran ruang fiskal yang terhad, kejutan bekalan dan jangkaan meningkat, setiap ringgit perlu digunakan dengan baik."Bagi kerajaan, ini bermakna memastikan sumber awam diuruskan secara berhemat, bantuan disasarkan secara berkesan dan program menjana hasil yang boleh dinilai."Bagi perniagaan, ia bermaksud meningkatkan produktiviti, mengurus kos, melabur dengan bijak dan memperkukuh daya tahan," katanya.Amir Hamzah berkata, integriti hasil juga penting."Dalam kerajaan terus memperkukuh kemampanan fiskal, kita perlu meningkatkan pematuhan secara adil, mengurangkan ketirisan dan memastikan sistem cukai ditadbir dengan ketelusan serta akauntabiliti," katanya.Menurut MIA dalam satu kenyataan, lebih 4,000 perwakilan dari seluruh dunia berhimpun di Persidangan MIA 2026, persidangan utama MIA, untuk membincangkan masa depan perniagaan dan profesion dalam perubahan ekonomi, teknologi serta kemampanan.Persidangan ini merupakan platform utama untuk kepimpinan pemikiran, kerjasama strategik dan transformasi anjuran MIA, badan berkanun di bawah Kementerian Kewangan yang bertanggungjawab mengawal selia serta membangunkan profesion perakaunan di Malaysia.Pada persidangan itu, Amir Hamzah turut melancarkan ‘Panduan Industri mengenai Pemantauan dan Pelaporan Impak untuk Kewangan Sosial Islam’ yang baharu.MIA memaklumkan, panduan itu dibangunkan melalui kerjasamanya dengan Bank Dunia, bertujuan menyokong konsistensi, ketelusan dan akauntabiliti yang lebih tinggi dalam pemantauan serta pelaporan impak untuk inisiatif kewangan sosial Islam.- Bernama
Go to News Site