Sinar Harian
KOTA BHARU – Polis berjaya menumpaskan Geng Saga yang dipercayai aktif melakukan 10 kes pecah cermin kereta di sekitar Kota Bharu dan Pasir Mas selepas menahan tiga lelaki dalam serbuan awal pagi.Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, serbuan dilakukan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan kira-kira jam 2.00 pagi, 30 Mei lalu di hadapan sebuah stesen minyak di Jalan Long Yunus di sini."Hasil operasi itu, tiga suspek berusia 49 hingga 56 tahun ditahan selepas dipercayai melakukan jenayah pecah cermin kenderaan dan mencuri barangan milik mangsa melibatkan kerugian keseluruhan RM23,000."Siasatan lanjut mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai 12 rekod jenayah lampau selain 32 rekod kesalahan berkaitan dadah, menjadikan mereka antara kumpulan berisiko tinggi dalam jenayah berulang," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.Dalam serbuan sama, polis turut merampas dua kereta jenis Proton Saga bersama anak kunci, sebuah komputer riba, empat telefon bimbit, dua beg galas, 10 kad bank, dua pasport antarabangsa serta satu MyKid.Turut dirampas peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah termasuk lastik getah, serpihan palam pencucuh dan playar.Kata Mohd Yusoff, kejayaan tangkapan itu hasil risikan dan tindakan pantas polis selepas menerima laporan kejadian pecah cermin di Tunjong di sini pada jam 12.45 tengah malam hari sama."Ujian saringan air kencing turut mengesahkan kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine," katanya.Beliau berkata, kesemua suspek kini ditahan reman selama tiga hari bermula Isnin hingga Selasa bagi membantu siasatan lanjut.Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan siasatan masih diteruskan.
Go to News Site