Sinar Harian
SHAH ALAM – Kenyataan Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Nga Kor Ming yang mengaitkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan nasib bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerima kritikan daripada pimpinan Pemuda MCA.Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata, kenyataan yang mendakwa kononnya kemenangan Barisan Nasional (BN) di negeri berkenaan akan membawa kepada pembebasan Najib jelas menunjukkan kegagalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu memahami prinsip pengasingan kuasa yang menjadi asas sistem demokrasi dan pentadbiran negara.Menurut beliau, adalah tidak tepat untuk mengaitkan kemenangan sesebuah parti dalam pilihan raya negeri dengan proses perundangan yang melibatkan individu tertentu."Saya ingin bertanya kepada Nga Kor Ming, yang juga merupakan seorang Menteri Persekutuan, adakah beliau benar-benar memahami dan menghormati prinsip pengasingan kuasa yang menjadi asas kepada sistem demokrasi serta pentadbiran negara?"Jika beliau benar-benar percaya bahawa kemenangan BN dalam sebuah pilihan raya negeri boleh membawa kepada pembebasan Datuk Seri Najib Razak, maka rakyat berhak bertanya adakah beliau sedang memberi gambaran bahawa wujud campur tangan politik terhadap institusi kehakiman?" soalnya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.Beliau berkata, rakyat kini semakin matang dalam menilai landskap politik dan mampu membezakan antara hujah berasaskan fakta dengan retorik politik yang bertujuan menimbulkan ketakutan atau prasangka.Sehubungan itu, Choo Seong menggesa DAP supaya menjalankan kempen secara matang dan memberi tumpuan kepada isu-isu yang lebih dekat dengan kehidupan rakyat seperti ekonomi, kos sara hidup, pendidikan serta peluang pekerjaan."Rakyat mahukan budaya politik yang sihat, membina dan berteraskan fakta."Biarlah rakyat Johor membuat penilaian berdasarkan rekod, prestasi dan tawaran yang dikemukakan, bukannya melalui propaganda atau momokan politik yang tidak berasas," katanya.
Go to News Site