Sinar Harian
BATU PAHAT - Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meneliti keperluan menyediakan kemudahan khas bagi memudahkan pengundi di Johor yang bekerja di Singapura pulang mengundi, termasuk kemungkinan membuka laluan khas di pintu masuk laluan darat.Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu akan dibincangkan selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan mesyuarat pada 12 Jun ini.Menurut beliau, KDN bersama Jabatan Imigresen serta agensi berkaitan akan memberi respons segera berdasarkan ketetapan SPR, termasuk dari segi pengurusan aliran keluar masuk sempadan negara."Jika hari mengundi jatuh pada Ahad, kesesakan dijangka berbeza kerana aliran masuk dari Singapura lebih tinggi ke Malaysia."Sebab hari Ahad maknanya rakyat Singapura yang berbondong masuk sebelah kita berbanding kita ke sana. Namun jika pada Sabtu, ia mungkin memberi cabaran kepada mereka yang masih bekerja," katanya.Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Citra Negara, Menteri Dalam Negeri: Sekolah Selamat di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Batu Pahat, pada Selasa.Dianggarkan terdapat kira-kira 400,000 hingga 480,000 rakyat Malaysia yang berulang-alik setiap hari merentasi Tambak Johor dan Linkedua untuk bekerja di Singapura.Sebahagian besar daripada pekerja rentas sempadan ini berulang-alik menaiki motosikal melalui Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri.Mengulas perkembangan rundingan calon PRN Johor bagi PH, Saifuddin Nasution yang juga Ketua Setiausaha Pakatan Harapan memaklumkan proses pembahagian kerusi telah selesai di peringkat rundingan awal dan kini menunggu pengesahan Majlis Presiden."Kami sudah ada garis panduan jelas dan proses tapisan sedang berjalan. Kita berada pada landasan yang betul untuk bersedia menghadapi hari penamaan calon nanti."Tetapi disebabkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru semalam berlepas ke Tokyo, Jepun selama tiga hari, apabila beliau pulang, saya akan dapatkan tarikh yang paling awal untuk keputusan itu bagi memuktamadkan pembahagian kerusi," ujarnya.
Go to News Site