Sinar Harian
KUALA LUMPUR - Tindakan seorang lelaki merakam video sambil mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota polis kerana tidak berpuas hati disaman atas kesalahan lalu lintas membawa padah apabila dia ditahan pada Selasa.Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Basri Sagoni berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.24 pagi Isnin ketika anggota polis sedang menjalankan rondaan serta penguatkuasaan lalu lintas."Anggota terbabit telah mengeluarkan saman terhadap sebuah kenderaan jenis Proton Preve kerana melakukan kesalahan lalu lintas."Semasa tindakan penguatkuasaan dijalankan, pemilik kenderaan berkenaan yang merupakan seorang lelaki tempatan telah menghampiri anggota polis sambil merakam video menggunakan telefon bimbit," katanya dalam kenyataan pada SelasaBasri berkata, lelaki itu turut mengeluarkan kata-kata kesat serta melakukan provokasi terhadap anggota polis kerana tidak berpuas hati dengan tindakan saman yang dikenakan."Susulan laporan polis yang diterima, satu siasatan dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955."Hasil maklumat dan siasatan yang dijalankan, seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun ditahan di sebuah premis perniagaan di Jalan Dato Senu di sini kira-kira jam 2.36 pagi tadi," katanya.Beliau berkata, polis turut merampas sebuah telefon bimbit jenama Infinix bersama kad sim yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes yang disiasat."Hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku merakam video anggota polis yang sedang bertugas itu kerana tidak berpuas hati dengan tindakan penguatkuasaan yang diambil terhadapnya," katanyaMenurutnya, suspek telah direman selama tiga hari bermula Selasa hingga Khamis bagi membantu siasatan lanjut."Hasil saringan ujian air kencing yang dijalankan ke atas suspek didapati negatif," katanya.Basri berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang boleh mengganggu siasatan polis."Sebarang bentuk penghinaan, ugutan, gangguan atau tindakan yang menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melakukannya."Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-40482222 atau mana-mana balai polis berhampiran," ujarnya.
Go to News Site