Sinar Harian
SHAH ALAM – Sebanyak 74 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia dan pelbagai negara menggesa semua pihak menghentikan gelombang kebencian serta diskriminasi terhadap komuniti Rohingya yang semakin membimbangkan di negara ini.Dalam satu kenyataan yang disokong 74 NGO itu, Jawatankuasa Penganjur Kebangsaan Malaysia bagi Persidangan Masyarakat Sivil ASEAN/Forum Rakyat ASEAN (ACSC/APF Malaysia) berkata, kempen kebencian terhadap Rohingya merupakan pencabulan hak asasi manusia yang tidak boleh diterima.Menurutnya, ia termasuk dari segi petisyen dalam talian yang menggesa etnik tersebut disingkirkan dari MalaysiaKatanya, retorik sedemikian bukan sahaja menjejaskan maruah komuniti Rohingya malah mengalihkan perhatian daripada punca sebenar krisis yang mereka hadapi di Myanmar."Gelombang kebencian terhadap Rohingya adalah manifestasi jelas xenofobia yang semakin membarah apabila mangsa penganiayaan dipersalahkan, sedangkan pihak yang melakukan penindasan terlepas daripada pertanggungjawaban."Rohingya merupakan komuniti yang telah lama menetap di Myanmar sebelum dilucutkan kewarganegaraan mereka pada tahun 1982 melalui dasar yang didorong fahaman ultra-nasionalisme," katanya pada Selasa.ACSC/APF Malaysia berkata, masyarakat antarabangsa perlu memahami bahawa majoriti Rohingya yang berada di negara-negara jiran termasuk Malaysia melarikan diri daripada konflik bersenjata, diskriminasi sistematik dan pelanggaran hak asasi manusia yang berterusan di negeri Rakhine.Menurutnya, keadaan di wilayah tersebut masih tidak selamat apabila konflik antara junta tentera Myanmar dan Tentera Arakan terus meragut nyawa orang awam.Katanya, antara November 2025 hingga April 2026, sebanyak 411 pertempuran bersenjata dan serangan terhadap orang awam direkodkan, menyebabkan sekurang-kurangnya 288 individu terbunuh termasuk wanita dan kanak-kanak."Dalam keadaan konflik yang semakin memuncak, memaksa Rohingya pulang ke zon perang bukan sahaja melanggar undang-undang antarabangsa, malah merupakan tindakan yang amat kejam."Sebarang usaha mengusir mereka ke kawasan yang masih berdepan penganiayaan dan ketidakstabilan hanya akan menghapuskan identiti, sejarah serta hubungan mereka dengan tanah asal," tambahnya.Pada masa sama, ACSC/APF Malaysia turut menyuarakan kebimbangan bahawa kempen kebencian terhadap Rohingya boleh melemahkan usaha masyarakat antarabangsa untuk menuntut keadilan terhadap pelaku jenayah kemanusiaan di Myanmar.Ujarnya, naratif kebencian dan maklumat mengelirukan yang disebarkan di beberapa platform telah menghalang usaha global untuk memastikan pihak yang bertanggungjawab terhadap kekejaman ke atas Rohingya dibawa ke muka pengadilan.Sehubungan itu, ACSC/APF Malaysia menggesa platform petisyen dalam talian memadamkan kempen yang menyeru penyingkiran Rohingya dari Malaysia kerana didakwa melanggar garis panduan komuniti berkaitan kebencian, diskriminasi dan penyebaran maklumat palsu.Selain itu, mereka turut menggesa Malaysia meratifikasi Konvensyen Pelarian 1951 serta Protokol 1967 dan menggubal kerangka perundangan yang komprehensif bagi melindungi hak, keselamatan dan maruah pelarian termasuk komuniti Rohingya."Dasar berkaitan pelarian perlu dibangunkan berteraskan keadilan dengan mengimbangi tanggungjawab kemanusiaan dan kepentingan negara."Bahasa yang merendahkan martabat manusia serta serangan terhadap komuniti rentan tidak boleh diterima dan perlu ditolak sepenuhnya," katanya.NGO luar negara yang menyokong kenyataan itu termasuklah Action Committee for Democracy Development, Burma Campaign United Kingdom (UK), Asia Justice and Rights (AJAR), Manushya Foundation, India for Myanmar dan National Rural Women Coalition dari Filipina.Pertubuhan dari Malaysia pula antaranya All Women's Action Society (AWAM), Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), SIS Forum serta Pusat KOMAS.
Go to News Site