Sinar Harian
SHAH ALAM - Dakwaan ada pemimpin dalam parti Pas tidak bersetuju keputusan menghentikan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah fitnah semata-mata.Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa sebaliknya berkata, ketetapan itu dipersetujui sepenuhnya."Percubaan mereka-reka cerita kononnya ada ahli mesyuarat Pas tak setuju keputusan, adalah fitnah. Persetujuan 100%," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dalam satu kenyataan mendakwa pihaknya menerima maklumat sejak awal berkenaan percanggahan pandangan antara kem majlis syura atau kem ulama dengan kem teknokrat yang dikaitkan dengan bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.Ujarnya lagi, difahamkan kem ulama dalam majlis syura berpandangan tidak wajar untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu kerana pertelingkahan dengan Bersatu dianggap mudarat kecil berbanding tindakan-tindakan yang membolehkan Pakatan Harapan (PH) dan DAP terus memegang kuasa yang dianggap sebagai mudarat besar.Pas pada malam Isnin secara rasmi menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu berkuat kuasa serta-merta.Ketetapan itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat selepas mengambil kira laporan, kajian dan penilaian semasa terhadap hubungan kedua-dua parti.
Go to News Site