Sinar Harian
SEREMBAN – Malaysia akan menghantar nota diplomatik kepada Filipina bagi menolak sebarang tuntutan yang dibangkitkan berhubung Sabah.Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkara tersebut bukan sesuatu yang baharu, malah telah berulang kali berlaku sebelum ini."Ini bukan perkara baharu. Setiap kali berlaku isu dalam negara mereka, akan ada pihak yang cuba mengalih perhatian dengan membangkitkan perkara seperti ini."Jadi kita (Wisma Putra) akan menghantar nota diplomatik terhadap apa yang dinyatakan seperti mana kebiasaannya," katanya ditemui pemberita pada Rumah Terbuka Aidilfitrinya di Rantau di sini pada Sabtu.Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Senator Filipina, Robin Padilla yang menggesa Presiden Ferdinand Marcos Jr. untuk menghidupkan semula tuntutan negara itu ke atas Sabah, wilayah kaya sumber minyak yang terletak di Pulau Borneo.Ahli Parlimen Rembau itu berkata, tindakan berkenaan dilihat sebagai usaha mengalih perhatian rakyat Filipina daripada isu dalaman yang sedang dihadapi negara itu."Saya percaya rakyat Filipina sendiri pun dah faham. Namun, ada segelintir ahli politik yang cuba menjuarai isu tertentu bagi mengalih perhatian rakyat daripada masalah sebenar."Setiap kali kenyataan yang mereka buat, kita akan menghantar nota diplomatik kepada kerajaan Filipina bahawa Sabah adalah sebahagian daripada Persekutuan Malaysia," katanya.Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa Sabah telah memilih menyertai Malaysia melalui proses Suruhanjaya Cobbold dan keputusan tersebut telah pun diperakukan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).Justeru tegas beliau, tidak sepatutnya timbul lagi soal tuntutan Sabah oleh mana-mana pihak."Kalau mereka terus nak bercakap soal Sabah, terpulanglah. Tapi kita menolak apa yang dinyatakan kerana tuntutan mereka itu suatu yang tidak berasas," katanya.Ditanya sama ada kenyataan berulang kali oleh pemimpin Filipina berkenaan boleh mengeruhkan hubungan antara kedua-dua negara, Mohamad berkata, perkara tersebut tidak menjejaskan hubungan dua hala.Ini kerana jelas beliau, kenyataan tersebut dibuat oleh pemimpin tertentu dan bukannya pendirian rasmi kerajaan Filipina."Saya yakin setelah banyak tuntutan dibuat, ia tidak pernah mengeruhkan hubungan baik antara Malaysia dan Filipina, tambahan pula Filipina merupakan Pengerusi ASEAN tahun ini," katanya.
Go to News Site