Sinar Harian
SHAH ALAM – #RasuahBusters menggesa kerajaan menggantung kontrak NexG Bhd (NexG) yang melibatkan pengendalian infrastruktur identiti nasional negara, khususnya kontrak bernilai lebih RM2.5 bilion untuk sistem pasport dan kad pengenalan, ekoran risiko keselamatan data rakyat.#RasuahBusters berkata hal ini demikian kerana walaupun dakwaan berkaitan kontroversi melibatkan NexG masih belum disahkan oleh pihak berkuasa, terdapat beberapa risiko asas yang melibatkan ketelusan perolehan dan keselamatan identiti rakyat yang tidak boleh dipandang ringan.Katanya, jika penggantungan tidak dibuat, pelan peralihan segera untuk kerajaan mengambil alih sistem termasuk kawalan ke atas kunci kriptografi dan akses data sistem perlu dilaksanakan, atau kerajaan boleh melaksanakan kedua-duanya sekali."Sebarang peluasan skop, perubahan terhadap struktur atau pemindahan IP perlu dibekukan serta-merta, dan tiada pemindahan kawalan kepada pihak luar."Kerajaan juga didesak melaksanakan audit keselamatan secara bebas melibatkan agensi berkaitan serta menjalankan satu siasatan menyeluruh. Pendedahan awam terhadap proses perolehan tender berkenaan juga mesti dibuat," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.Pada Jumaat, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menggesa siasatan menyeluruh dijalankan terhadap syarikat NexG berhubung kontroversi yang dikaitkan dengan syarikat itu kerana ia membabitkan perolehan kerajaan.Jelasnya, siasatan terperinci dan menyeluruh termasuk yang dijalankan oleh sebuah jawatankuasa bagi menilai kesesuaian beberapa aktiviti perniagaan yang melibatkan pelaburan sekitar RM200 juta juga perlu diteruskan.Selasa lalu pula, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan melabel Victor Chin sebagai 'syaitan korporat' dalam satu sidang media khas bagi menafikan pembabitannya dalam skandal 'Mafia Korporat'.Kontroversi ini turut berkisar kepada transaksi saham MMAG Holdings Bhd melibatkan isteri Victor Chin, Chan Swee Ying, yang dilaporkan melupuskan 9.53 peratus kepentingan (220 juta saham) bernilai RM88.22 juta kepada NexG.Sebelum itu, pada 14 Mac lalu, Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli menggesa supaya peranan NexG diletakkan di bawah kawalan kerajaan susulan dakwaan pergolakan dalam syarikat yang dilantik kerajaan untuk membekalkan MyKad dan pasport.Bercakap dalam audio siar ‘Yang Berhenti Menteri’, bekas Menteri Ekonomi itu berkata memandangkan NexG mengurus aset keselamatan negara yang sangat sensitif, tugas yang diberikan kepada syarikat itu terlalu kritikal untuk dibiarkan di tangan pihak swasta yang terdedah kepada manipulasi.Mengulas lanjut, #RasuahBusters berkata demi kepentingan rakyat dan negara, mereka menuntut agar kerajaan tidak berkompromi dalam isu tersebut."Kami mendesak ketelusan penuh serta tindakan tegas diambil segera. Kelengahan hanya akan meningkatkan risiko keselamatan nasional, menjejaskan integriti sistem negara dan menghakis kepercayaan rakyat," ujarnya.Menurutnya, desakan itu dibuat kerana NexG terlibat secara langsung dalam ekosistem identiti nasional termasuk pasport, MyKad dan sistem berkaitan sempadan.Justeru, kata #RasuahBusters, ketidaktentuan pegangan saham, perubahan lembaga pengarah secara mendadak serta persoalan mengenai pihak yang sebenarnya mengawal syarikat merupakan isu keselamatan negara yang menimbulkan risiko kawalan ke atas infrastruktur kritikal negara."Apabila kawalan sebenar ke atas syarikat yang memegang data paling sensitif tidak jelas, risiko manipulasi data, ugutan operasi dan campur tangan asing boleh wujud, seterusnya mengancam integriti data negara."Melalui maklumat awam yang tersedia, kontrak-kontrak ini diumumkan melalui ‘letter of award’. Sama ada ia bermula melalui tender terbuka, tender terhad atau rundingan terus, ia tidak jelas dan meragukan," tambahnya.#RasuahBusters menegaskan ketelusan proses perolehan bagi kontrak berimpak tinggi terhadap keselamatan negara adalah satu kewajipan.Jelasnya, infrastruktur keselamatan negara tidak boleh dilabel sebagai ‘projek khas’ yang terselindung daripada pengawasan awam dan proses tersebut perlu dijelaskan secara rasmi."Rakyat dimaklumkan bahawa sistem ini menggunakan teknologi biometrik canggih dan piawaian antarabangsa."Namun, secanggih mana pun teknologi, jika digandingkan dengan tadbir urus yang lemah, ia hanya mengundang bencana besar kepada negara kerana terdedah kepada isu keselamatan nasional," katanya.
Go to News Site