Konflik Asia Barat: Amanah gesa konsensus nasional rentas parti perkukuh ketahanan ekonomi | Collector
Konflik Asia Barat: Amanah gesa konsensus nasional rentas parti perkukuh ketahanan ekonomi
Sinar Harian

Konflik Asia Barat: Amanah gesa konsensus nasional rentas parti perkukuh ketahanan ekonomi

SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) menggesa pembentukan konsensus nasional merentasi parti politik bagi memastikan ketahanan ekonomi negara terus terpelihara susulan ketegangan konflik antara Israel dan Iran yang semakin meruncing.Timbalan Presidennya, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, konflik tersebut bukan sekadar isu geopolitik luar, sebaliknya memberi implikasi langsung kepada ekonomi Malaysia termasuk kenaikan harga tenaga, tekanan inflasi serta gangguan rantaian bekalan global."Apabila laluan strategik seperti Selat Hormuz terjejas, kesannya akan dirasai sehingga ke dapur rakyat Malaysia."Kos sara hidup meningkat, tekanan kepada subsidi bertambah dan ruang fiskal kerajaan menjadi semakin mencabar," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.Mujahid menegaskan, Malaysia tidak boleh berdepan cabaran tersebut dalam keadaan politik yang berpecah-belah, sebaliknya memerlukan pendekatan baharu berasaskan konsensus merentas parti."Ini bukan masa untuk berpolitik secara sempit. Ini adalah masa untuk semua pihak melibatkan kerajaan dan barisan pembangkang membina kesepakatan dalam isu-isu ekonomi yang menyentuh kehidupan rakyat secara langsung," ujarnya lagi.Tambah beliau, antara langkah utama yang memerlukan sokongan bipartisan termasuklah pengurusan inflasi dan kos sara hidup secara menyeluruh."Selain itu, reformasi subsidi secara bersasar dan berhemah, pengukuhan keselamatan makanan serta tenaga negara selain memastikan keyakinan pelabur terus terpelihara melalui kestabilan politik," tambahnya lagi.Dalam pada itu, Mujahid turut menyifatkan krisis di Asia Barat sebagai peluang untuk mematangkan landskap politik negara melalui pendekatan Politik Rahmah dan Politik Nilai yang mengutamakan tanggungjawab bersama berbanding retorik perpecahan.Jelasnya, dalam keadaan dunia yang tidak menentu, kekuatan negara bergantung kepada keupayaan semua pihak untuk bersatu.Sehubungan itu, beliau menggesa pemimpin politik agar menurunkan suhu politik dan memberi tumpuan kepada agenda besar negara."Rakyat tidak mahu melihat perbalahan berterusan ketika mereka sendiri berdepan tekanan ekonomi."Mereka mahukan kepimpinan yang matang, bersatu dan bertanggungjawab. Inilah masa untuk kita buktikan bahawa politik boleh menjadi alat penyatuan, bukan perpecahan," tegasnya lagi.

Go to News Site