Sinar Harian
SEREMBAN - Tujuh kapal Malaysia yang dilaporkan terkandas di Selat Hormuz bukannya ditahan, sebaliknya sedang menunggu kebenaran untuk melalui kawasan tersebut.Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kesemua kapal tersebut akan dibenarkan melalui selat terbabit sebaik saja dipastikan keadaan di sana benar-benar selamat."Saya telah membuat langkah rundingan awal bersama rakan sejawat saya, perkara ini disusuli dengan panggilan oleh Perdana Menteri kepada Presiden Iran yang menguatkan lagi permohonan kita."Iran menyatakan tiada isu untuk membenarkan kapal kita melaluinya dan buat masa sekarang ini yang dilepaskan adalah kapal yang membawa kargo. Bagi kapal tangki, perlu tunggu dahulu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Rumah Terbuka Aidilfitrinya di Rantau, di sini pada Sabtu.Jelas beliau, tujuh kapal tangki terbabit ialah tiga milik Petronas, dua MISC, satu Sapura Energy serta sebuah milik Syahpadu Corporation Sdn Bhd.Mohamad berkata, komunikasi antara pusat arahan di Teheran dan komander di lapangan kadangkala terganggu akibat situasi konflik, menyebabkan pergerakan kapal perlu ditangguhkan sementara."Di Selat Hormuz itu keadaan amat tegang, semua nak keluar dan jika komunikasi tidak dibuat dengan baik boleh menyebabkan insiden tidak diingini berlaku."Kapal-kapal ini tak ditahan, tapi menunggu 'on' saja kerana arahan dari Teheran itu kadang-kadang tidak sampai kerana dalam keadaan perang, sistem komunikasi itu sangat sukar," katanya.Tambahnya, kesemua kapal tersebut dijangka dibenarkan bergerak pada bila-bila masa bergantung kepada keadaan semasa yang ditentukan pihak Iran.Terdahulu, media melaporkan tujuh kapal milik Malaysia dengan empat daripadanya sarat membawa muatan minyak mentah dilaporkan terkandas di Selat Hormuz dan belum dapat meneruskan pelayaran pulang ke negara ini.Setiausaha Eksekutif Kesatuan Kebangsaan Pelaut-Pelaut Semenanjung Malaysia (NUSPM), Ikmal Azam Thanaraj Abdullah berkata, dua lagi adalah kapal pemasangan paip dan kapal sokongan luar pesisir.
Go to News Site