Subsidi diesel Sabah Sarawak: Dakwaan pembahagian tak adil tak tepat - Armizan | Collector
Subsidi diesel Sabah Sarawak: Dakwaan pembahagian tak adil tak tepat - Armizan
Sinar Harian

Subsidi diesel Sabah Sarawak: Dakwaan pembahagian tak adil tak tepat - Armizan

KOTA KINABALU - Dakwaan bahawa kerajaan Persekutuan tidak berlaku adil dalam pelaksanaan subsidi diesel di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan disifatkan sebagai tidak tepat.Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, tanggapan tersebut timbul akibat salah faham terhadap dasar sebenar kerajaan yang sejak awal tidak pernah menolak pelaksanaan penyasaran subsidi diesel di ketiga-tiga wilayah berkenaan."Ini kerana kerajaan tidak pernah berpendirian bahawa penyasaran subsidi diesel tidak akan dilaksanakan di ketiga-tiga wilayah ini, namun akan dilaksanakan secara berperingkat."Dasar kerajaan sejak awal adalah melaksanakan reformasi dalam penyaluran subsidi melalui penyasaran subsidi. Maksudnya, dasar subsidi akan diteruskan dengan mekanisme pengagihan secara bersasar," katanya.Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Kerajaan Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Sabtu.Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar menjelaskan, pelaksanaan dasar itu memerlukan penelitian rapi memandangkan ia merupakan satu pembaharuan besar dalam sistem subsidi negara, sekali gus perlu digerakkan secara berfasa bagi memastikan keberkesanan serta mengurangkan impak kepada rakyat.Menurutnya, langkah awal telah dimulakan pada 2024 menerusi penyasaran subsidi diesel di Semenanjung Malaysia, diikuti penyasaran subsidi petrol RON95 di seluruh negara pada 2025, yang setakat ini berjalan lancar dan terus diperkemas.Dalam perkembangan sama, Armizan berkata, kerajaan kini sedang meneliti kerangka cadangan bagi pelaksanaan penyasaran subsidi diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan sebelum ia dimuktamadkan dan dibincangkan bersama kerajaan negeri terlibat."Pada tahun ini, sememangnya Kerajaan Persekutuan khususnya melalui Kementerian Kewangan sedang meneliti kerangka cadangan untuk pelaksanaan penyasaran subsidi diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan."Sebaik cadangan mekanisme diperkemas, ia kemudiannya akan dibawa untuk perbincangan dengan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak sebelum dilaksanakan. Asasnya, subsidi diesel akan terus dilaksanakan, namun secara bersasar sekali gus menangani risiko ketirisan meliputi penyelewengan dan penyeludupan," katanya.Tambah beliau, kerajaan juga telah mempunyai beberapa model sedia ada seperti BUDI95, BUDI Madani, Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Skim Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) yang akan dijadikan panduan dalam merangka mekanisme terbaik dengan mengambil kira keunikan keadaan di Sabah, Sarawak dan Labuan serta pandangan pihak berkepentingan.Pada masa sama, beliau menegaskan persepsi bahawa subsidi diesel tidak diberikan langsung kepada Semenanjung Malaysia juga adalah tidak benar kerana bantuan tersebut masih disalurkan secara bersasar kepada sektor pengangkutan darat dan barangan serta kumpulan tertentu.Mengulas lanjut beliau berkata, pelaksanaan di Sabah, Sarawak dan Labuan hanya dipertimbangkan pada fasa seterusnya berikutan beberapa faktor utama termasuk kebergantungan tinggi terhadap diesel, keadaan geografi serta jurang harga barangan yang ketara berbanding Semenanjung Malaysia."Kos pengangkutan barangan melalui laut dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak yang lebih tinggi berbanding sebahagian kawasan perdagangan utama di negara serantau turut menyumbang kepada perbezaan harga, sekali gus memerlukan pendekatan lebih teliti dalam pelaksanaan dasar tersebut," jelasnya.

Go to News Site