Warga emas maut dalam perjalanan pulang dari kedai runcit | Collector
Warga emas maut dalam perjalanan pulang dari kedai runcit
Sinar Harian

Warga emas maut dalam perjalanan pulang dari kedai runcit

MARANG – Seorang warga emas berusia 80 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan di Jalan Kampung Kubang Palas, Bukit Payong di sini pada petang Jumaat.Ketua Polis Daerah Marang, Superintenden Mohd Sofian Redzuan berkata, kejadian kira-kira jam 5.45 petang itu membabitkan dua buah motosikal iaitu jenis Honda C70 dan Modenas Kriss MJ110.Menurutnya, siasatan awal mendapati nahas berlaku ketika mangsa, Muhammad Abdullah, yang menunggang Honda C70 sedang melalui satu selekoh di laluan satu lorong dua hala yang tidak mempunyai garisan putih pembahagi jalan."Difahamkan motosikal yang ditunggang mangsa dari kedai runcit menghala pulang ke rumah, manakala sebuah lagi motosikal dari rumah menghala ke kedai runcit."Apabila sampai di tempat kejadian, motosikal mangsa dipercayai telah bertembung secara berhadapan dengan motosikal Modenas Kriss yang datang dari arah bertentangan."Akibat pertembungan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.Mohd Sofian berkata, motosikal Modenas Kriss berkenaan ditunggang oleh seorang remaja lelaki berusia 14 tahun bersama seorang pembonceng kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun."Kedua-dua remaja dan kanak-kanak tersebut mengalami kecederaan dan telah dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk menerima rawatan lanjut," jelasnya.Menurut beliau, kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.Katanya, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut agar menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohamad Syafiq Amsyar Zaharuddin di talian 013-9195738.Tambahnya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang turut mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan serta isyarat lalu lintas dan sentiasa berhati-hati semasa memandu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Go to News Site