Sinar Harian
PONTIAN – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan sama ada permohonannya kembali menyertai parti itu diterima atau sebaliknya.Menurut Khairy, surat permohonan telah dihantar pada 16 Mac lalu, namun beliau tidak mahu mendahului keputusan yang akan dibuat oleh kepimpinan tertinggi parti."Surat permohonan sudah diserahkan, sama ada diterima atau tidak, itu saya tidak pasti."Saya serah kepada pihak UMNO untuk putuskan," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Setiausaha Kerja UMNO Malaysia, Datuk Mohd Sumali Reduan di Jalan Parit Ismail, Benut pada Sabtu.Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ketua UMNO Bahagian Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan.Mengulas spekulasi beliau bakal bertanding di Johor termasuk di kawasan Johor Bahru atau Muar, Khairy menegaskan keutamaannya ketika ini hanyalah untuk kembali sebagai ahli biasa."Saya minta jadi ahli biasa dahulu. Yang lain kemudian. Ini perjalanan pulang ke parti, tidak perlu terburu-buru," katanya.Sebelum itu, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 17 April ini dijangka akan membincangkan permohonan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin untuk menyertai semula parti di bawah Rumah Bangsa.Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, selain dua pemimpin itu, beberapa bekas ahli UMNO lain yang turut menyatakan kesediaan untuk menyertai semula parti akan dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.Menurut Khairy, kehadirannya ke program berkenaan merupakan jemputan pertama yang dihadirinya selepas membuat pengumuman untuk kembali aktif dalam parti UMNO."Beliau (Sumali) antara orang penting yang membawa saya pulang ke UMNO. Beliau telah menyusun pertemuan antara saya dengan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, jadi saya amat berterima kasih kepadanya."Saya telah mengenali beliau sejak zaman Pemuda UMNO lagi. Beliau ialah Setiausaha Kerja Pemuda UMNO ketika saya menjadi Ketua Pemuda UMNO," katanya lagi.Dalam pada itu, Khairy turut mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman atas pertunangannya dengan Bella Astillah dan mendoakan yang terbaik buat pasangan terbabit.
Go to News Site