Sinar Harian
SHAH ALAM - Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menafikan sebarang penglibatan berhubung cadangan pembekalan bahan api membabitkan sebuah kerajaan tempatan di selatan Filipina seperti yang dilaporkan media baru-baru ini.Petronas dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan, syarikat itu tidak mengetahui cadangan tersebut dan tidak menandatangani sebarang perjanjian atau komitmen berkaitan."Fokus utama Petronas adalah untuk memastikan bekalan bahan api yang boleh dipercayai dan berterusan tersedia untuk Malaysia."Perkara ini kekal sebagai keutamaan, disokong oleh rangkaian bekalan yang kukuh serta kerjasama rapat dengan kerajaan," jelas Petronas.Terdahulu, menurut kenyataan rasmi pada 25 Mac lalu, kerajaan wilayah Davao del Norte merancang untuk membeli 44 juta liter minyak mentah dan petrol dari Malaysia bagi membantu mengekang kenaikan harga minyak di wilayah itu yang terjejas akibat konflik di Asia Barat, lapor Philippine News Agency.Gabenor wilayah, Edwin Jubahib berkata, perbincangan awal dilakukan dengan pihak di daerah Johol di Negeri Sembilan kerana kawasan itu mempunyai simpanan besar minyak mentah dan petrol selain dijangka dibekalkan melalui Petronas.Beliau menambah bahawa jumlah 44 juta liter adalah untuk penghantaran sekali sahaja, dan wilayah itu mempunyai kapasiti untuk membayar pesanan pukal tersebut.Kerajaan wilayah itu juga sedang mencari depoh simpanan yang sesuai untuk minyak berkenaan selepas perjanjian diluluskan.Sebagai langkah penjimatan bahan api, mereka telah memperkenalkan sistem berkongsi kenderaan (carpooling) serta membeli dua tangki berkapasiti 24,000 liter setiap satu untuk kegunaan kecemasan, termasuk kenderaan penyelamat.Davao del Norte, yang terletak di pulau Mindanao di bahagian selatan Filipina, bersempadan dengan wilayah Davao Oriental, Davao de Oro dan Bukidnon.Filipina mengisytiharkan darurat tenaga apabila rizab bahan api merosot kepada sekitar 40 hingga 45 hari, dengan lebih 400 stesen minyak di negara itu telah menghentikan operasi akibat kenaikan harga bahan api yang mendadak.
Go to News Site