Sinar Harian
SHAH ALAM - Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari menjelaskan cadangannya berhubung pemansuhan segera peruntukan sebanyak RM3.5 juta setahun kepada setiap Ahli Parlimen kerajaan adalah berdasarkan prinsip.Ahmad Fadhli berkata, ia kerana peruntukan itu cukup besar dan lebih memberikan kesan kepada perbelanjaan negara.Menurut Ahli Parlimen Pasir Mas tersebut, jika langkah sedemikian dibuat, ia bakal menyaksikan penjimatan yang lebih besar berbanding menerima cadangan supaya elaun petrol Ahli Parlimen sejumlah RM1,500 dikurangkan."Elaun petrol pula hanya melibatkan Ahli Parlimen biasa sahaja, ahli Kabinet iaitu Menteri dan Timbalan Menteri setahu saya tidak terlibat. Jadi di mana isu prinsipnya?"Adakah benar peruntukan RM3.5 juta itu jika dimansuhkan akan menjejaskan rakyat di akar umbi? Jika demikian, adakah ini bermaksud rakyat di Parlimen yang diwakili pembangkang sudah terjejas selama tiga tahun dari 2023 hingga 2025? Bukankah itu lebih zalim dan kejam?"Sebagaimana kerajaan sering menyatakan walaupun peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang tidak diberikan, rakyat tetap dibela. Maka sekarang belalah rakyat menggunakan kaedah sama, yang penting RM3.5 juta untuk satu Parlimen berjaya dijimatkan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.Ahmad Fadhli menambah, sebaik penjimatan besar RM3.5 juta setahun untuk satu Parlimen dijimatkan, tiada masalah sekiranya tumpuan beralih pula kepada penjimatan kecil misalnya perihal elaun petrol RM1,500 dikurangkan."Setelah penjimatan besar RM3.5 juta setahun untuk satu Parlimen ini dijimatkan, barulah kita beralih kepada penjimatan kecil. Contohnya RM1,500 elaun petrol," ujarnya.Sebelum ini, media melaporkan pemimpin Pas itu mencadangkan kerajaan memansuhkan peruntukan khas RM3.5 juta yang diagihkan kepada setiap Ahli Parlimen blok kerajaan sebagai langkah penjimatan susulan ketegangan berterusan di Asia Barat.Ahmad Fadhli mengulas laporan memetik Majlis Belia Malaysia (MBM) yang mengemukakan empat cadangan utama kepada kerajaan sebagai langkah mengimbangi impak tekanan global akibat ketegangan di Asia Barat termasuk menyemak semula elaun petrol 222 Ahli Parlimen.Setiausaha Agung MBM, Ahmad Farhan Rosli berpandangan, langkah untuk menyemak semula dan mengurangkan elaun petrol semua Ahli Dewan Rakyat itu boleh dianggap simbol kepimpinan melalui teladan serta solidariti nasional.MBM juga menyarankan kerajaan memperluas subsidi BUDI diesel dan melonggarkan syarat pemilik kenderaan persendirian dengan kuota munasabah sekitar 300 liter sebulan serta mempercepat usaha mempelbagaikan sumber tenaga negara dengan meneroka bekalan alternatif di luar negara Teluk.
Go to News Site