Collector
Helah remaja perempuan matikan enjin gagal, kantoi ubah suai ekzos bising dikesan JPJ | Collector
Helah remaja perempuan matikan enjin gagal, kantoi ubah suai ekzos bising dikesan JPJ
Sinar Harian

Helah remaja perempuan matikan enjin gagal, kantoi ubah suai ekzos bising dikesan JPJ

KAJANG – Taktik seorang remaja perempuan mematikan enjin motosikal bagi mengelak tindakan terbongkar dalam Operasi Khas Motosikal di Plaza Tol Sungai Ramal, di sini pada Ahad akhirnya tidak berjaya.Remaja berusia 17 tahun itu dipercayai bertindak demikian selepas motosikal ditunggangnya menghasilkan bunyi ekzos yang bising.Hasil pemeriksaan lanjut mendapati motosikal itu telah diubah suai, termasuk penggunaan ekzos tidak mengikut spesifikasi.Lebih mengejutkan, motosikal berkenaan juga didapati tidak mempunyai brek belakang dan hanya bergantung kepada brek hadapan.Ketika disoal, remaja terbabit memberi alasan pengubahsuaian itu dibuat atas faktor minat.Dalam operasi sama, seorang lelaki warga Pakistan berusia lingkungan 30-an turut ditahan selepas gagal mengemukakan lesen memandu yang sah.Lelaki itu memberi alasan motosikal berkenaan baru sahaja dibeli daripada seorang warga tempatan pada harga kira-kira RM2,500.Pemeriksaan mendapati motosikal tersebut juga menggunakan cukai jalan yang telah tamat tempoh.Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, kesalahan tidak memiliki lesen memandu merupakan antara kesalahan tertinggi yang direkodkan sepanjang operasi berkenaan.Menurutnya, operasi yang dijalankan bermula jam 8 malam itu melibatkan seramai 40 pegawai serta anggota JPJ."Sebanyak 712 kenderaan telah diperiksa dengan 194 daripadanya diambil tindakan."Dalam operasi ini, sebanyak 377 notis telah dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan," katanya dalam sidang akhbar ketika Operasi Khas Motosikal di Plaza Tol Sungai Ramal di sini pada Ahad.Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 354 notis saman dikeluarkan, selain lapan notis larangan penggunaan kenderaan (PG1)."Turut dikeluarkan ialah lapan notis arah periksa kenderaan di bawah Seksyen 61(1) serta tujuh notis penahanan kenderaan di bawah Seksyen 64(1)," katanya.Tambah beliau, sebanyak 349 kesalahan direkodkan dengan kesalahan tiada lesen memandu (CDL) mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 104 kes."Selain itu, kesalahan lesen kenderaan motor (LKM) dan insurans masing-masing merekodkan 90 kes, diikuti kesalahan nombor pendaftaran sebanyak 15 kes."Terdapat juga kesalahan teknikal lain sebanyak lapan kes serta lain-lain kesalahan sebanyak 42 kes," katanya.Tegasnya, JPJ akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan undang-undang jalan raya dalam kalangan pengguna, khususnya melibatkan penunggang motosikal.

Go to News Site