Sinar Harian
SEREMBAN - "Kita boleh terima kalau penjara lebih lima atau enam tahun, tapi penjara setahun ini sikit sangat, terlalu ringan dalam kes bayi yang telah meninggal dunia."Demikian luah Yuseri Yusoff, 42, bapa kepada Baby Syifaa atau Nour Rania Asyifaa berhubung hukuman penjara setahun dan denda RM15,000 terhadap pengasuh bayi terbabit yang didakwa melakukan pengabaian sehingga menyebabkan kematian bayi berusia 15 bulan itu di sebuah pusat asuhan di Bandar Sri Sendayan di sini, empat tahun lalu.Beliau turut menyifatkan hukuman berkenaan sebagai tidak adil kepada keluarga yang telah melalui proses inkues hampir tiga tahun."Keluarga memang tidak berpuas hati dengan keputusan itu sebab kita dah lalui inkues lebih tiga tahun."Kalau nak mengaku salah, awal-awal lagi dah boleh mengaku salah. Bagi keluarga ini tak adil dan kita memang tak berpuas hati," katanya ditemui di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin.Tambahnya, pihak keluarga akan merujuk perkara tersebut kepada peguam bagi mempertimbangkan kemungkinan mengambil tindakan lanjut selepas ini.Sementara itu, ibu kepada Baby Syifaa, Anida Idrus, 44, yang turut hadir ke mahkamah dilihat tidak dapat menahan sebak selepas prosiding keputusan kes dan tidak bersedia memberi sebarang kenyataan kepada media.Terdahulu, mahkamah turut mengarahkan Khairunnisa Ahmad Damamhuri, 41, melaksanakan khidmat masyarakat selama 48 jam dalam tempoh enam bulan sebaik saja selesai menjalani hukuman penjara serta bon berkelakuan baik selama setahun sebanyak RM5,000 tanpa cagaran dengan seorang penjamin dalam kalangan ahli keluarga.Mengikut pertuduhan, Khairunnisa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap kanak-kanak perempuan, Nour Rania Asyifaa Yuseri, berusia 15 bulan, telah mengabaikan mangsa dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.Kesalahan terbabit didakwa dilakukan kira-kira jam 12.30 tengah hari di Bandar Sri Sendayan pada 22 Februari 2022.Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum mengikut seksyen yang sama.Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya.Media pada 31 Julai 2024 melaporkan, Mahkamah Koroner di sini memutuskan punca kematian Baby Syifaa yang ditemui tidak sedarkan diri dalam buaian di pusat asuhannya disebabkan tekanan pada leher.Koroner, Datin Surita Budin ketika membacakan keputusan itu berkata, kematian Nour Rania Asyifaa Yuseri bukanlah satu kemalangan atau kecelakaan tetapi disebabkan tergantung di dalam buaian yang ditinggalkan oleh pengasuh.Surita juga memaklumkan Khairunnisa yang merupakan saksi ke-19 turut didapati gagal memastikan keselamatan Baby Syifaa.Ini kerana katanya, wanita itu dalam keterangannya sebelum ini mengakui meninggalkan bayi terbabit tanpa pengawasan berpatutan selama dua jam.Seramai 28 saksi dipanggil memberi keterangan termasuk ibu dan bapa Baby Syifaa sepanjang prosiding inkues bermula 22 September 2022.
Go to News Site