Sinar Harian
SHAH ALAM - Kerajaan sekali lagi digesa mempertimbangkan cadangan untuk menjatuhkan hukuman lebih berat termasuk penjara seumur hidup atau hukuman mati bagi kes melibatkan kematian akibat pemandu mabukKetua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, untuk membolehkan hukuman lebih berat itu dikenakan terhadap pelaku, pendakwaan bagi kes tersebut perlu dibuat di bawah Kanun Keseksaan.Menurutnya, gesaan itu dibuat susulan kemalangan tragis yang meragut nyawa seorang penunggang motosikal, Allahyarham Amirul Hafiz Omar yang menjadi satu lagi peringatan mengenai ancaman nyata pemandu mabuk di jalan raya.Kata beliau, hakikatnya, kes tersebut bukan insiden terpencil kerana sudah terlalu kerap rakyat mendengar mengenai nyawa insan tidak bersalah diragut oleh kecuaian pihak yang memilih untuk memandu dalam keadaan mabuk."Lebih membimbangkan, kejadian sebegini seolah-olah tidak lagi memberi kesan kepada golongan terbabit, malah dilihat semakin berleluasa."Sejak awal, kita telah mendesak agar hukuman terhadap pemandu mabuk diperketatkan. Walaupun undang-undang sedia ada di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 15 tahun serta denda RM50,000 hingga RM100,000, realitinya ia masih belum cukup kuat untuk mengekang jenayah ini," katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Isnin.Terdahulu, media melaporkan individu yang dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah sehingga mengakibatkan penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Jalan Raya Barat, Klang pada Ahad direman empat hari untuk siasatan lanjut.Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, dalam kejadian itu, Amirul Hafiz meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dipercayai dirempuh pemandu mabuk.Kata beliau, siasatan awal mendapati pemandu Honda City dipercayai memandu laju, memotong beberapa kenderaan sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar motosikal mangsa.Mangsa kemudiannya tercampak ke atas sebuah Perodua Myvi serta hasil ujian saringan mendapati pemandu terbabit positif alkohol dan dadah.Justeru, Muhamad Akmal menegaskan, kerajaan perlu mengambil langkah lebih berani dan tegas kerana nyawa manusia tidak boleh terus dipertaruhkan dengan hukuman yang tidak memberi kesan pencegahan yang nyata.Beliau turut mencadangkan agar pampasan mandatori yang signifikan diberikan kepada keluarga mangsa dan wajib ditanggung oleh pelaku.Ujarnya, sekiranya pelaku tidak berkemampuan, mekanisme tanggungan alternatif termasuk penglibatan keluarga pelaku perlu dipertimbangkan secara adil dan berperundangan.Muhamad Akmal juga menyarankan pelaksanaan skim khairat kematian berpusat yang perlu diwajibkan kepada semua pemegang lesen memandu bagi memastikan bantuan segera dapat disalurkan kepada keluarga mangsa tanpa birokrasi yang melambatkan.Tambahnya, jika kesalahan berkaitan dadah dikenakan hukuman berat kerana merosakkan masyarakat, maka perbuatan memandu dalam keadaan mabuk sehingga meragut nyawa juga wajar dipandang dengan keseriusan yang sama.Beliau pada masa sama turut menggesa Menteri Pengangkutan serta semua ahli parlimen tanpa mengira blok politik supaya segera membawa usul dan mengambil tindakan legislatif yang tuntas dalam perkara tersebut."Berapa banyak lagi nyawa tidak bersalah perlu terkorban sebelum kita benar-benar bertindak? Nilai sebuah nyawa itu tidak ternilai."Jangan sampai kita hanya tersedar apabila ia melibatkan orang yang kita sayangi. Tepuk dada, tanyalah diri," tegasnya lagi.
Go to News Site