Lapan lelaki mengaku tidak bersalah cederakan polis | Collector
Lapan lelaki mengaku tidak bersalah cederakan polis
Sinar Harian

Lapan lelaki mengaku tidak bersalah cederakan polis

GEORGE TOWN - Lapan lelaki mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap tiga anggota di sebuah flat di sini pada minggu lalu.Noor Nizar Shah Zainol Abidin, 37, Muhammad Syafiq Mohd Nordin, 28, Azwandy Azmi, 38, Muhamad Aiqal Zulkifrey, 28, Muhammad Firdaus Abdul Malik, 34, Muhammad Razin Abdul Muthalib, 34, Muhammad Syazwan Mohd Omar, 30, dan Low Jia Hui, 26 membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Tunku Intan Nadiah Tunku Mohammed Nazarin di Mahkamah Majistret 2 pada Isnin.Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama-sama dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Lans Koperal S Uvaneand, 26, Konstabel Muhammad Danial Danish Azlan, 23, dan Lans Koperal Muhammad Amzaruddin Fakhri Khuiruddin, 30, semasa mereka melaksanakan tugas sebagai seorang penjawat awam yang sah.Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Sungai, Sungai Pinang pada jam 9.50 malam, 25 Mac lalu.Oleh demikian, mereka dituduh di bawah Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 149 Kanun Keseksaan.Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Marissa Safina Saiful Adli sementara kelapan-lapan tertuduh diwakili Peguam, S Meharaj.Dalam pendakwaannya, Siti Marissan menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.Sementara itu, Meharaj dalam rayuannya memohon agar wang jaminan dikurangkan berikutan kesemua anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga."Bagi tertuduh pertama, dia berusia 37 tahun, sudah berkahwin, mempunyai dua anak dan bekerja sebagai peniaga. Tertuduh kedua, berusia 28 tahun, masih bujang dan juga peniaga."Tertuduh ketiga, dia merupakan pekerja kilang, berusia 38 tahun, berkahwin dan mempunyai tiga anak. Bagi tertuduh keempat, dia berusia 28 tahun, berkahwin dan mempunyai seorang anak, bekerja sebagai kerani bengkel," katanya.Tambahnya, bagi tertuduh kelima, dia berusia 34 tahun, sudah berkahwin dengan mempunyai seorang anak dan bekerja sebagai mekanik namun mempunyai masalah darah tinggi."Tertuduh keenam bekerja sebagai penghantar barang, berusia 34 tahun dan isterinya sedang sarat mengandung. Tertuduh ketujuh pun sudah berkahwin, mempunyai tiga orang anak dan bekerja sebagai 'runner'."Sementara tertuduh terakhir, dia berusia 26 tahun dan bekerja sebagai tukang masak. Sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak," katanya.Selain tanggungan, Meharaj berkata, kesemua tertuduh telah memberi kerjasama yang baik kepada polis sepanjang siasatan dijalankan."Lima daripada mereka telah menyerah diri pada semalam manakala tiga lagi yang direman sejak 25 Mac lalu telah memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan dijalankan. Jaminan adalah untuk memastikan kesemua tertuduh hadir ke mahkamah."Oleh demikian, jaminan yang ditawarkan tidak perlu terlalu tinggi kerana ia hanya untuk memastikan mereka hadir ke mahkamah selain mereka hanya pekerja biasa dan mempunyai tanggungan."Dengan mengambil kira faktor ekonomi yang semakin mencabar ketika ini, saya memohon jaminan yang paling minimum diberikan kepada kesemua tertuduh agar mereka dapat dijamin," katanya.Tunku Intan kemudiannya menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.Kes ditangguh sehingga 19 Mei untuk serahan dokumen dan sebutan semula kes.Sebelum ini, lapan lelaki ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kejadian menghalang penjawat awam menjalankan tugas sehingga mencederakan anggota polis dalam satu insiden di sebuah flat di Jalan Sungai, di sini pada malam Rabu lalu.Kejadian berlaku kira-kira jam 9.50 malam apabila pusat kawalan daerah menerima permintaan bantuan daripada anggota polis yang berdepan kesukaran ketika menjalankan tugas penguatkuasaan.Sepasukan anggota yang tiba di lokasi mendapati empat anggota polis sedang mengejar seorang individu mencurigakan yang melarikan diri ke arah flat berkenaan sebelum tercetus perselisihan faham dengan beberapa orang awam.Dalam kejadian itu, tiga daripada empat anggota polis terbabit mengalami kecederaan ringan akibat pergelutan yang berlaku.

Go to News Site