Sinar Harian
SHAH ALAM - Kerajaan khususnya Kementerian Pengangkutan (MOT) di bawah pimpinan Anthony Loke digesa mengambil langkah susulan sewajarnya bagi membendung isu pemanduan berbahaya yang dipengaruhi dadah atau alkohol hingga mengakibatkan berlaku kemalangan jalan raya.Naib Presiden MCA, Datuk Ir Lawrence Low berkata, Anthony juga perlu tampil ke hadapan untuk menjawab beberapa persoalan seperti operasi penguatkuasaan serta kempen kesedaran awam mengenai bahaya memandu di bawah pengaruh dadah dan alkohol yang digerakkan pada 2020, dihentikan atau masih berjalan."Adakah tiada penguatkuasaan dijalankan? Adakah kempen kesedaran awam mengenai bahayanya pemanduan dipengaruhi dadah atau alkohol yang digerakkan pada 2020 dihentikan setelah pertukaran kerajaan?" katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.Lawrence dalam masa sama membangkitkan bahawa isu tersebut menjadi keutamaan sewaktu Presiden MCA, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong menerajui MOT suatu ketika dahulu.Beliau berkata, pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dibuat bagi mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap pesalah, khususnya membabitkan Seksyen 41 hingga Seksyen 45.Jelasnya lagi, ia dibuktikan apabila akta tersebut berjaya diluluskan di Dewan Rakyat, Dewan Negara dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, kemudiannya diwarta serta mula dikuatkuasakan pada 23 Oktober 2020."Bukan itu sahaja, usaha tidak tertumpu kepada hukuman semata-mata, malah turut disusuli pelaksanaan kempen kesedaran secara meluas bagi mendidik masyarakat tentang bahaya memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah serta pemanduan secara melulu."Ini bukanlah isu perkauman kerana sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa dan terkorban disebabkan pemandu mabuk, dipengaruhi dadah serta mereka yang tidak bertanggungjawab memandu secara berbahaya," ujarnya.Lawrence menambah, banyak sesi libat urus diadakan bersama pelbagai pihak termasuk Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) yang berlangsung di MOT pada 23 Jun 2020 semasa proses meminda Akta 333 itu.Menurutnya, MCCBCHST bersetuju perundangan dan pendidikan mesti saling melengkapi bagi meningkatkan kesedaran awam mengenai bahaya pemanduan yang dipengaruhi dadah atau alkohol hingga boleh menyebabkan kemalangan jalan raya."Turut ditekankan bahawa memandu dalam keadaan mabuk tidak boleh dikaitkan dengan mana-mana kepercayaan agama atau bangsa, sebaliknya pindaan Akta 333 adalah demi keselamatan semua pengguna jalan raya," katanya.Atas dasar itu, pemimpin MCA terbabit menggesa Anthony tampil bagi menjawab segala persoalan berbangkit."Nyawa manusia tiada galang gantinya. Keselamatan pengguna jalan raya tidak patut dipertaruhkan dek kecuaian pihak lain."Tindakan tegas, konsisten dan berterusan daripada MOT serta agensi berkaitan perlu diperkasakan, bukan bersifat reaktif hanya selepas berlakunya tragedi," kata Lawrence lagi.Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, seorang penunggang motosikal maut dirempuh sebuah kereta yang dipandu lelaki di bawah pengaruh alkohol dan dadah di Jalan Raya Barat, Klang, Selangor.Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, kejadian kira-kira jam 11.40 pagi Ahad itu melibatkan sebuah motosikal dan dua kereta.Menurutnya, siasatan awal mendapati sebuah kereta jenis Honda City yang dipandu lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an itu datang dari arah Jalan Raya Barat menghala ke Bandar Klang dalam keadaan laju dan berbahaya.Suspek telah direman empat hari bermula Isnin hingga 2 April ini bagi membantu siasatan.
Go to News Site