Sinar Harian
MELAKA - Seorang penyamun yang menjadikan pagi Aidilfitri sebagai ‘waktu bekerja’ untuk melakukan jenayah akhirnya ditahan polis dalam satu operasi di Ayer Keroh, di sini.Suspek lelaki tempatan berusia 46 tahun yang mempunyai 18 rekod jenayah lampau itu ditahan sekitar jam 2 pagi pada 21 Mac lalu ketika dipercayai cuba memecah masuk sebuah rumah di kawasan perumahan.Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, tangkapan dibuat hasil risikan dan maklumat awam menerusi operasi Op Petong.Menurutnya, siasatan mendapati suspek bergerak secara solo dan aktif melakukan kegiatan pecah rumah sejak Januari lalu di sekitar Ayer Keroh dan kawasan berhampiran."Hasil tangkapan ini, polis berjaya menyelesaikan lima kes jenayah harta benda di daerah Melaka Tengah yang dilaporkan antara 16 Januari hingga 21 Mac lalu."Modus operandi suspek adalah menyasarkan rumah di kawasan berpagar dan berpengawal yang tidak berpenghuni atau ditinggalkan dalam tempoh tertentu," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.Beliau berkata, suspek akan memanjat tembok sebelum memasuki rumah melalui tingkap bilik air atau tingkap sisi."Suspek turut meletakkan kenderaan jauh dari lokasi rumah mangsa sebelum berjalan kaki melalui kawasan semak bagi mengelakkan dikesan."Hasil tangkapan itu, polis turut merampas pelbagai barangan termasuk telefon bimbit, pakaian, sarung tangan serta sebuah kenderaan jenis Honda Jazz yang digunakan suspek ketika melakukan jenayah," katanya.Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 457 dan Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 14 tahun serta denda atau sebatan jika sabit salah.Tambah beliau, suspek yang tidak bekerja itu kini direman sehingga 2 April bagi membantu siasatan lanjut.Beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa memastikan keselamatan rumah terjamin, terutama apabila ditinggalkan tanpa penghuni."Pastikan semua pintu dan tingkap dikunci dengan sempurna serta maklumkan kepada jiran atau pihak berkuasa sekiranya meninggalkan rumah dalam tempoh lama," katanya.
Go to News Site