Sinar Harian
KUALA LUMPUR - Kertas siasatan berhubung dakwaan ahli Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Wilayah Persekutuan meminta Wang perlindungan dari sebuah pusat urut di Wangsa Maju, telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) pada Isnin.Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Senior Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, pihaknya kini sedang menunggu arahan TPR untuk tindakan lanjut."Kita telah menahan dua individu bagi membantu siasatan berkaitan kes itu. Mereka telah direman empat hari bermula Khamis hingga Ahad."Seramai empat saksi telah dirakam keterangan, kertas siasatan telah lengkap dan diserahkan kepada DPP hari ini," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di sini pada Isnin.Sebelum ini, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dilaporkan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.Pada Khamis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dilaporkan berkata, beliau telah mengarahkan laporan polis dibuat, selain siasatan dimulakan serta-merta bagi menyiasat dakwaan berkenaan.Menurut beliau, tindakan tegas termasuk pemecatan akan dikenakan sekiranya dakwaan tersebut terbukti benar.Terdahulu, tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan kehadiran dua lelaki memperkenalkan diri sebagai ahli MPP meminta wang daripada sebuah pusat urut.
Go to News Site