Sinar Harian
SHAH ALAM - Kerajaan digesa agar mendedahkan laporan penuh hasil siasatan berkaitan isu pemilikan saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.Biro Politik Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) berkata, keengganan mendedahkan laporan itu boleh mencetuskan persoalan serius terhadap komitmen kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memerangi rasuah.Menurut kenyataan itu, kelewatan tersebut bukan sahaja menimbulkan keraguan, malah berisiko menghakis keyakinan rakyat terhadap integriti institusi pencegahan rasuah negara."Beberapa minggu lepas, Perdana Menteri sendiri berkongsi laporan siasatan itu sudah siap dan sepatutnya dibentangkan di Kabinet."Namun sehingga hari ini, ia masih belum didedahkan kepada umum seolah-olah wujud usaha untuk melindungi pihak tertentu," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.Parti itu turut melahirkan kebimbangan terhadap spekulasi pelantikan Azam Baki ke jawatan awam lain seperti Senator di Dewan Negara.Menurutnya, individu yang dikaitkan dengan isu integriti dan salah guna kuasa tidak sepatutnya dipertimbangkan untuk sebarang jawatan penting dalam pentadbiran negara."Pelantikan sedemikian, jika berlaku akan menghantar isyarat bahawa akauntabiliti boleh diketepikan dan kedudukan digunakan sebagai perlindungan."Reformasi institusi tidak boleh sekadar menjadi slogan politik. Ia mesti dibuktikan melalui tindakan yang tegas, telus dan konsisten termasuk dalam kes yang melibatkan individu berprofil tinggi," tegasnya.MUDA dalam masa sama turut menggesa agar Azam direhatkan sementara daripada jawatannya sehingga isu kintroversi membabitkan beliau selesai sepenuhnya.
Go to News Site