Sinar Harian
SHAH ALAM - Insiden seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh pemandu di bawah pengaruh alkohol dan positif dadah semalam, sekali gus mencetuskan desakan agar tindakan lebih tegas diambil bagi membendung kemalangan seumpama itu.Mangsa, Amirul Hafiz Omar maut akibat dirempuh pemandu di bawah pengaruh bahan terlarang alam kejadian di Jalan Raya Barat, Klang, pada Ahad.Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong menggesa Kementerian Pengangkutan (MOT) melaksanakan sepenuhnya Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) pindaan 2020, khususnya Seksyen 41 hingga Seksyen 45 bagi memastikan hukuman lebih berat dikenakan terhadap pesalah."Pelaksanaan tegas akta itu bukan sahaja mampu mengurangkan angka kemalangan, malah membantu Kerajaan Madani mengelak tanggapan negatif masyarakat terhadap sistem perundangan negara."Keadilan mesti ditegakkan dan dilihat ditegakkan bagi memberi iktibar dan kesedaran kepada orang ramai. Ini juga menghantar isyarat jelas kepada bakal pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah bahawa hukuman berat menanti mereka," ujarnya.Choo Seong yang juga Pengarah Komunikasi Pemuda BN turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Amirul dengan harapan keadilan dapat ditegakkan buat allahyarham.Menurut statistik dari 2022 hingga Jun 2025, sebanyak 41 kematian direkodkan akibat kemalangan jalan raya berpunca daripada pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan dadah, selain menyebabkan kerosakan harta benda.Dalam pada itu, beliau menegaskan kempen kesedaran awam tidak boleh terhenti, sebaliknya perlu dipergiatkan termasuk menggalakkan penggunaan perkhidmatan e-hailing sebagai alternatif lebih selamat.
Go to News Site