Collector
Pemandu mabuk: Young Syefura sokong pampasan setimpal diberi kepada keluarga mangsa | Collector
Pemandu mabuk: Young Syefura sokong pampasan setimpal diberi kepada keluarga mangsa
Sinar Harian

Pemandu mabuk: Young Syefura sokong pampasan setimpal diberi kepada keluarga mangsa

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman menyokong supaya pampasan yang setimpal diberikan kepada keluarga mangsa bagi kes kemalangan maut melibatkan pemandu mabuk.Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP itu berkata, beliau bersetuju dengan cadangan untuk pindaan undang-undang berkaitan kesalahan pemandu mabuk itu.Katanya, selain itu perlu juga ada penguatkuasaan ketat di sekitar kawasan yang berisiko tinggi atau ‘hotspot’."Perkara ini (bersifat) rentas kementerian, (jadi) perlu ada penyelarasan penuh antara kementerian bagi menangani perkara ini daripada terus berulang," katanya dalam hantaran di platform Threads pada Isnin.Terdahulu, pelbagai pihak terutamanya pemimpin kerajaan dan pembangkang tampil mendesak undang-undang dipinda bagi membolehkan hukuman lebih berat termasuk hukuman mati dan penjara seumur hidup dikenakan terhadap pelaku kes pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah.Malah, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pihaknya merangka cadangan pindaan lanjut terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mewajibkan pesalah kes kemalangan maut membayar ganti rugi kepada keluarga mangsa selain hukuman penjara.Ujarnya, langkah itu antara usaha memperkukuh undang-undang terhadap pemandu bawah pengaruh alkohol dan dadah.Pada Ahad media melaporkan, seorang penunggang motosikal Allahyarham Amirul Hafiz Omar maut dirempuh kereta dipandu lelaki di bawah pengaruh alkohol dan dadah dalam kejadian di Jalan Raya Barat, Klang.Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, kejadian kira-kira jam 11.40 pagi itu membabitkan sebuah motosikal dan dua kereta.Mengulas lanjut, Young Syefura menegaskan, meskipun pindaan terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) dilaksanakan sebelum ini, kes pemandu mabuk yang mengakibatkan kematian dan kecederaan masih berlaku sehingga kini."Berdasarkan data terkini selepas pindaan akta berkenaan, sebanyak 2,306 kes direkodkan pada 2022, diikuti 1,989 kes pada 2023 dan 1,589 kes pada 2024. Bagi tempoh Januari hingga Jun 2025 pula, sebanyak 508 kes dilaporkan," ujarnya lagi.Young Syefura turut menzahirkan rasa simpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa kemalangan itu.

Go to News Site