Collector
Tiga ulat foto ditahan semula, tiada rekod warganegara | Collector
Tiga ulat foto ditahan semula, tiada rekod warganegara
Sinar Harian

Tiga ulat foto ditahan semula, tiada rekod warganegara

KUALA LUMPUR – Tiga daripada 18 individu yang diberkas sebelum ini berkaitan insiden pergaduhan melibatkan kumpulan 'ulat foto' di sekitar KLCC ditahan semula selepas didapati tidak mempunyai identiti sebagai warganegara Malaysia.Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Sazalee Adam berkata, hasil semakan cap jari terhadap orang kena tahan (OKT) yang dibebaskan mendapati tiga individu berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod.Menurutnya, ketiga-tiga suspek terbabit akan ditangkap semula bagi tindakan lanjut mengikut Peraturan 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990."Semakan cap jari mendapati ketiga-tiga individu ini tidak mempunyai rekod, sekali gus tidak memiliki identiti sebagai warganegara Malaysia."Tangkapan semula akan dibuat dan kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk pertuduhan pada 31 Mac," katanya dalam kenyataan pada Isnin.Dalam perkembangan sama, beliau berkata, dua lagi suspek telah dituduh di bawah Seksyen 149/324 Kanun Keseksaan di mahkamah pada hari sama."Tindakan itu diambil selepas kedua-dua individu berkenaan dikenal pasti oleh mangsa dan saksi sebagai pelaku utama yang melakukan kekerasan dalam kejadian tersebut."Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) turut mengesahkan kehadiran kedua-dua suspek di lokasi kejadian selain menunjukkan mereka menyebabkan kecederaan kepada mangsa," ujarnya.Sebelum ini, media melaporkan seramai 18 lelaki ditahan selepas dipercayai terlibat dalam insiden memukul dua lelaki hingga cedera di kepala di Persiaran Menara Berkembar Petronas (KLCC) baru-baru ini.Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, dua mangsa yang cuba meleraikan pergaduhan antara sekumpulan individu dengan seorang pelancong asing telah diserang secara beramai-ramai.Mangsa dilaporkan dipukul dan diserang menggunakan senjata sehingga mengalami kecederaan di bahagian kepala.Sazalee berkata, siasatan awal mendapati kesemua suspek yang ditahan mengaku berada di lokasi kejadian dan bekerja sebagai jurugambar jalanan atau ‘ulat foto’.

Go to News Site