Collector
[VIDEO] Seloroh 'masuk TV' jadi kenyataan, ibu reda pemergian Amirul Hafiz | Collector
[VIDEO] Seloroh 'masuk TV' jadi kenyataan, ibu reda pemergian Amirul Hafiz
Sinar Harian

[VIDEO] Seloroh 'masuk TV' jadi kenyataan, ibu reda pemergian Amirul Hafiz

LARUT - "Saya reda, Mirul anak yang baik, sangat baik..."Itu luahan penuh reda seorang ibu, Faridah Ahmad, 56, mengenang pemergian anak sulungnya, Amirul Hafiz Omar, 33, yang maut dalam kemalangan di Jalan Raya Barat di Klang pada Ahad.Menurutnya, kenangan bersama Allahyarham sepanjang sambutan Aidilfitri ini menjadi memori terakhir yang akan terus disimpan.Katanya, dia sempat meluangkan masa selama beberapa hari di rumah arwah di Shah Alam sebelum kejadian."Saya duduk di rumah dia tiga hari. Dia layan kami macam biasa, masak untuk kami, masak kurma daging, suruh makan," katanya ketika ditemui pemberita di kediaman keluarga di Kampung Repoh, Batu Kurau di sini pada Isnin.Menurut Faridah, arwah seperti biasa bersikap ceria dan gemar bergurau bersama ahli keluarga termasuk ketika menghadiri kenduri di Klang.Katanya, mereka sempat bergambar beramai-ramai sebelum arwah berseloroh kononnya akan 'masuk TV', tanpa menyangka kata-kata itu menjadi kenyataan dalam keadaan yang tidak diduga."Saya ingat dia bergurau saja, rupanya seperti satu petanda," katanya.Tambahnya, sebelum pulang, arwah sempat memeluk dan memohon maaf seperti kebiasaannya setiap kali berpisah."Dia peluk saya, minta maaf, halal makan minum...macam selalu. Saya kata saya reda, dia anak yang baik," katanya.Faridah berkata, walaupun terkejut menerima berita pemergian anaknya, beliau reda dengan ketentuan Ilahi."Saya terkejut sangat. Menantu telefon beritahu ‘Mirul dah tak ada’."Tapi saya reda, sekurang-kurangnya sepanjang raya saya sempat luang masa dengan dia," katanya.Menurutnya, arwah seorang yang bertanggungjawab dan sentiasa memikirkan keperluan keluarga, termasuk anak-anaknya."Saya nampak dia kira duit seringgit-seringgit, dia kata itu untuk sekolah anak-anak."Dia juga dah bayar duit rumah. Dia fikir semua benda untuk keluarga," katanya.Beliau berkata, urusan pengurusan jenazah berjalan lancar dengan bantuan ahli keluarga dan saudara-mara."Alhamdulillah semuanya dipermudahkan. Ramai yang bantu," katanya.Jenazah Amirul Hafiz selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Repoh, Batu Kurau sekitar jam 12 malam.Allahyarham meninggalkan isteri, Nor Nadia Abdul Majid, 32, dan tiga cahaya mata iaitu Muhammad Aqif Amsyar, 9; Muhammad Afif Izz Rayqal, 7, dan Nur Humaira, 2 tahun.

Go to News Site