Collector
Bekas banduan tak serik, aktif pecah kedai sejak tahun lalu | Collector
Bekas banduan tak serik, aktif pecah kedai sejak tahun lalu
Sinar Harian

Bekas banduan tak serik, aktif pecah kedai sejak tahun lalu

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki tempatan yang juga bekas banduan tidak serik apabila terlibat dalam 30 kes jenayah pecah kedai dan melarikan peti wang tunai di sekitar ibu negara sejak tahun lalu, diberkas dalam Op Cash Box.Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Senior Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail, berkata suspek berusia 44 tahun itu ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju, menerusi operasi yang dijalankan sejak 9 Julai tahun lalu hingga 26 Mac."Tangkapan dibuat hasil risikan selepas kita menerima laporan berkaitan kes pecah kedai di sekitar daerah berkenaan."Siasatan mendapati suspek terlibat dalam 11 kes di Wangsa Maju, Dang Wangi (tujuh), Cheras (enam), Sentul (empat) dan Brickfields (dua) dengan anggaran kerugian RM59,546," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di sini pada Isnin.Mohamad Lazim berkata, polis turut merampas 11 barangan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah serta menemui semula dua motosikal curi, termasuk sebuah yang dikesan di Muar, Johor.Beliau berkata, siasatan mendapati suspek menyasarkan premis pada waktu malam hingga awal pagi dengan memecahkan pintu kaca menggunakan batu sebelum melarikan peti wang."Suspek kini direman selama tujuh hari bermula 27 Mac," katanya.Tambah beliau, suspek yang mempunyai 26 rekod jenayah lampau kembali aktif melakukan jenayah beberapa bulan selepas dibebaskan dari penjara pada Mac tahun lalu."Sebelum ini dia dijatuhi hukuman penjara selama 18 bulan atas kesalahan sama," katanya.Mohamad Lazim berkata, orang ramai turut dinasihatkan supaya meningkatkan langkah keselamatan di premis masing-masing serta menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah."Kerjasama masyarakat amat penting dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan bersama," katanya.

Go to News Site