Sinar Harian
SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, mendakwa isu melibatkan syarikat NexG bukan sekadar pergaduhan dalam perniagaan, sebaliknya melibatkan perkara yang lebih strategik bagi kepentingan negara.Bekas Menteri Ekonomi itu berkata, banyak pihak melihat isu tersebut sebagai drama korporat melibatkan Victor Chin dan urusan pengambilalihan saham, namun isu sebenar adalah jauh lebih besar."Victor Chin bukan orang luar kepada sistem ini. Secara profesional, dia memang dikenali sebagai individu yang tahu mengumpul dana, menyusun pegangan saham, mengambil alih syarikat, kemudian menaikkan nilai syarikat itu."Maksudnya, dia sebahagian daripada ekosistem yang memang sudah lama wujud," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.Dalam pada itu, bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menegaskan NexG bukan sekadar bernilai dari segi kewangan semata-mata, tetapi turut menyentuh aset strategik negara seperti MyKad, pasport, dokumen pekerja asing dan pelbagai bentuk pengenalan rasmi yang digunakan dalam urusan bank, kerajaan, malah dalam proses pengundian.Malah menurutnya, apabila sebuah syarikat berada di tengah sistem identiti negara, pihak yang mengawalnya bukan lagi sekadar memegang satu syarikat, tetapi sesuatu yang jauh lebih besar."Sebab itu saya kata, isu ini tidak boleh dibaca sebagai cerita saham semata-mata."Lebih merisaukan ialah apabila aset strategik seperti ini boleh menjadi rebutan kelompok berkepentingan."Itu tanda masalahnya bukan pada satu dua nama, tetapi pada sistem yang membenarkan perkara seperti ini berlaku," ujarnya.
Go to News Site