Sinar Harian
MELAKA - "Kami enam beradik kehilangan ibu tersayang akibat pemandu mabuk, manakala ayah pula mengalami kecacatan kekal pada kaki kiri sejak kemalangan itu.Demikian luahan Siti Rozianti Roslan, 39, yang berkongsi pengalaman pahit kehilangan ibunya dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 16, Kampung Tehel, Bemban pada 27 Mei 2016.Menurutnya, dalam kejadian sekitar jam 9 malam itu, ibu bapanya yang menunggang motosikal dalam perjalanan mengambil adiknya pulang dari tempat kerja di sebuah pasar raya di Melaka, dirempuh sebuah kereta dari arah belakang."Ketika kejadian, ayah sempat melihat sebuah kereta dipandu dalam keadaan mencurigakan melalui cermin sisi sebelum kenderaan itu merempuh mereka."Akibat rempuhan kuat itu, ibu dan ayah tercampak dan terpisah di atas jalan," katanya.Siti Rozianti berkata, lebih menyedihkan apabila pemandu berkenaan tidak berhenti, sebaliknya melarikan diri dari lokasi kejadian.Bagaimanapun, katanya, pemandu tersebut berjaya dikesan selepas dikejar penduduk kampung sebelum ditahan pihak berkuasa.Dia berkata, ibunya, Norsidah Yusak, 52, meninggal dunia dua hari selepas kejadian akibat pendarahan otak."Ayah pula mengalami patah kaki kiri dan terpaksa menjalani pembedahan sehingga dimasukkan besi pada bahagian lutut."Sehingga kini, kakinya tidak dapat dibengkokkan dan dia tidak lagi mampu bekerja," katanya.Tambahnya, ketika kejadian, adik bongsunya masih bersekolah rendah, manakala dua daripada adik-beradiknya yang lain sudah berkahwin dan yang lain telah bekerja.Ujarnya, kehilangan ibu memberi kesan besar kepada kehidupan mereka sekeluarga, apatah lagi ayahnya turut hilang keupayaan untuk mencari nafkah."Memang sakit hati setiap kali membaca kes pemandu mabuk yang menyebabkan kematian, lebih-lebih lagi apabila hukuman dikenakan dilihat tidak setimpal."Saya berharap kerajaan dapat mengkaji semula hukuman terhadap pesalah pemanduan di bawah pengaruh alkohol agar lebih tegas dan setimpal, terutama apabila melibatkan kehilangan nyawa," katanya.Lebih memilukan, sehingga kini pemandu terbabit tidak pernah tampil memohon maaf kepada keluarganya.
Go to News Site