Sinar Harian
JOHOR BAHRU – Cubaan menyeleweng kira-kira 800 liter minyak diesel berjaya ditumpaskan selepas sebuah lori mencurigakan ditahan dalam operasi rondaan di stesen minyak sekitar Lebuhraya Pasir Gudang, petang Isnin.Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, Unit Ronda Penguat Kuasa (URP) mengesan kenderaan berkenaan kira-kira jam 2 petang sebelum bertindak menahan lori tersebut untuk pemeriksaan lanjut."Hasil pemeriksaan mendapati lori itu telah diubah suai dengan pemasangan dua pam yang disambungkan terus daripada tangki asal ke tangki tambahan jenis Intermediate Bulk Container (IBC) di bahagian ruang simpanan."Tangki berkenaan dipercayai mengandungi kira-kira 800 liter minyak diesel," katanya dalam kenyataan.Menurutnya, modus operandi tersebut dipercayai digunakan bagi tujuan pemindahan dan penyimpanan minyak diesel secara tidak sah."Pemeriksaan lanjut ke atas pemandu, seorang lelaki tempatan, mendapati dia gagal mengemukakan sebarang dokumen sah termasuk permit khas bagi menyimpan atau tujuan pembelian bahan api itu."Susulan itu, satu tindakan kes dihasilkan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM20,716," katanya lagi.KPDN Johor menegaskan sebarang usaha menyeleweng barang kawalan termasuk melalui pengubahsuaian kenderaan merupakan kesalahan serius dan tidak akan dikompromi.Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penyelewengan barang kawalan digalakkan menyalurkan aduan kepada KPDN melalui WhatsApp 019-848 8000, portal e-Aduan, talian 1-800-886-800 atau aplikasi Ez ADU KPDN.
Go to News Site