Collector
Kapal Malaysia dibenarkan lalui Selat Hormuz tanpa tol - Duta Iran | Collector
Kapal Malaysia dibenarkan lalui Selat Hormuz tanpa tol - Duta Iran
Sinar Harian

Kapal Malaysia dibenarkan lalui Selat Hormuz tanpa tol - Duta Iran

KUALA LUMPUR - Kapal milik Malaysia dibenarkan melalui Selat Hormuz tanpa dikenakan sebarang bayaran tol, sekali gus memberi jaminan laluan selamat di tengah ketegangan serantau.Duta Besar Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi berkata, Tehran telah dimaklumkan mengenai tujuh kapal Malaysia yang berada di Teluk Parsi dan berhasrat untuk melalui laluan strategik itu.Menurutnya, Iran tidak menghalang laluan kapal negara sahabat termasuk Malaysia, malah memberi jaminan bahawa ia boleh digunakan tanpa sebarang tol."Kami menerima maklumat daripada Menteri Luar Malaysia bahawa beberapa kapal Malaysia berada di Teluk Parsi dan ingin melaluinya."Kami telah mempertimbangkan perkara ini, dan Insya-ALLAH, mereka akan lalu. Ia tidak menjadi masalah kerana Malaysia adalah negara sahabat, dan negara sahabat boleh menggunakan selat itu," katanya yang dipetik menerusi laporan New Straits Times.Sebelum ini, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen meminta kerajaan menjelaskan sama ada Malaysia turut membayar tol untuk kapal negara ini melalui Selat Hormuz susulan dakwaan media antarabangsa bahawa tentera Iran mewujudkan pusat pungutan tol di selat itu dan mengenakan bayaran sehingga AS$2 juta atau RM8.04 juta.Apabila diminta mengulas sama ada kapal-kapal itu akan dikenakan tol, Valiollah memaklumkan, kapal dari Malaysia akan dibenarkan melaluinya dengan bebas."Sudah tentu (kapal Malaysia bebas lalu). Kami tidak akan mengenakan bayaran," tambahnya.Pada Sabtu, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum ini memaklumkan tujuh kapal tangki Malaysia sedang menunggu kebenaran dan tempoh laluan selamat untuk meneruskan perjalanan.Kapal berkenaan melibatkan tiga milik Petronas, dua milik MISC Bhd, serta masing-masing satu milik Sapura Energy dan Shapadu Corporation Sdn Bhd.Dalam pada itu, Valiollah menegaskan Selat Hormuz tidak ditutup sepenuhnya, sebaliknya hanya dikenakan sekatan terpilih terhadap negara yang terlibat atau menyokong serangan terhadap Iran, namun membenarkan laluan untuk negara-negara sahabat, tertakluk kepada penyelarasan dengan pihak berkuasanya.

Go to News Site